Nak gelak pun ada tapi tak apa kita bagi can kat ISMA untuk sekali sekala menyelit di BeautifulNara. ISMA atau nama penuhnya Ikatan Muslimin Malaysia menerusi Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah iaitu Ustaz Omar Kassim telah meminta penganjuran konsert K-Pop di Malaysia agar diawasi kerana ia bukan saja boleh merosakkan umat Islam, malah ia dipercayai merancakkan penyebaran dakyah Kristian Evangelis di kalangan masyarakat negara ini.
Menariknya, Ustaz Omar Kassim turut mengaitkan konsert Kpop ini dengan parti pembangkang DAP. Menurutnya penganjuran konsert seperti itu pastinya menggembirakan dan disokong puak Evangelis dan DAP yang ternyata sebagai parti anti-Islam.
Beliau berkata, adalah tidak menghairankan jika Evangelis sering kali menyokong segala bentuk hiburan liberal yang merosakkan masyarakat dan membantah sebarang nilai mahupun prinsip yang berakhlak dan menjaga maruah masyarakat.
“DAP yang rapat dengan Evangelis ini pastinya menyokong konsert seperti itu sebagaimana mereka menyokong pesta arak tempoh hari, walaupun ia ternyata satu amalan yang merosakkan masyarakat serta mendapat tentangan hebat daripada majoriti rakyat Malaysia.
“Sebaliknya, perkara elok seperti langkah menetapkan couple-seat di dalam pawagam hanya untuk yang sudah sah bernikah untuk mengelak kejadian tidak senonoh dalam pawagam, dibantah pula oleh mereka.
“Tindakan DAP ini tidak lain hanya menggambarkan betapa mereka takut Islam menjadi lebih kukuh di Malaysiaâ€, katanya.
Ustaz Omar berkata, ada laporan menyatakan kebanyakan artis K-Pop adalah aktivis gereja dan mereka mengambil kesempatan mengadakan konsert dengan membaca ayat-ayat daripada kitab Bible serta mengajak peminat mereka ke gereja.
Sebelum ini, dalam satu keluaran majalah ‘World’ – sebuah majalah Kristian – populariti K-Pop telah merancakkan kerja-kerja dakyah Kristian serta menjadikan agama itu lebih mudah diterima oleh masyarakat awam.
K-Pop (Korean Pop) berasal dari Korea, yang dahulunya hanya memiliki kurang 0.5 peratus penganut Kristian, namun kini mencatatkan Kristian sebagai kelompok agama terbesar berikutan gerakan dakyah besar-besaran agama tersebut sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Bukan nak sokong Kpop tetapi rasanya tak pernah pula artis-artis Korea ini membacakan kitab Bible ketika konsert mereka. Selalunya diorang akan belajar cakap Bahasa Malaysia seperti ‘saya sayang kamu’, ‘aku cinta kamu’ dan ‘terima kasih’. Pada pandangan Abang Nara, sekali-sekala nak dengar juga ustaz-ustaz ISMA ini bahan drama dan industri hiburan tempatan yang secara jelas memang bertentangan dengan Islam. Jangan gajah seberang laut je nampak, kuman depan mata buat tak tahu. Tak gitu? Sumber Ismaweb.