Pempengaruh media sosial, Isa Isaarb tampil memohon maaf setelah satu sedutan program terbitannya menjadi tular dan didakwa tidak sensitif terhadap pergaulan lelaki dan wanita Islam.
Gara-gara kecaman itu, Isa dilaporkan membatalkan serta merta penerbitan program tersebut yang sedang berjalan di saluran media sosial miliknya itu.
Dia juga mengakui khilaf kerana melaksanakan program tersebut tanpa kajian dan usul periksa.
Salah, ya ianya salah. Sebab saya buat dan fikirkan ianya adalah ‘challenge’. Jadi saya ambil tanggungjawab penuh. Tak ada kena mengena dengan mereka (peserta) sebab mereka pun tak ada telefon dan mereka tak tahu apa-apa.
Saya akan batalkan program ini serta merta. Saya akan minta peserta semua balik. Tapi mereka takkan tanggung rugi. Hadiah tetap akan diberikan. Mungkin bukan seorang tapi kena bahagikan.
Isa juga mengakui menghadapi kerugian besar namun mengambil iktibar di atas apa yang terjadi.
Rugi, memang rugi besar. Kira-kira lebih RM500,000. Tapi tidak mengapa, salah tetap salah.
Saya akan ambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan terus bergerak kehadapan sebab ini adalah kerugian yang paling besar. Sebab ‘challenge’ tengah jalan tiba-tiba kena hentikan.
Saya minta maaf kepada semua orang. Insya-Allah saya akan pulih daripada kejatuhan ini.
Terdahulu, satu sedutan program berkenaan menjadi tular apabila kelihatan beberapa orang wanita dan lelaki duduk serumah dan dikelilingi kamera untuk mengawasi mereka selama 77 hari.
Peserta yang mampu bertahan akan memenangi wang tunai sebanyak RM40,000.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.