Pelakon Irma Hasmie berkongsi pengalamannya menyantuni pelarian Syria di Turki tidak lama dulu, cukup mengajar dirinya erti kecekalan, keinsafan dan lebih bersyukur.
Irma memaklumkan yang hatinya amat tersentuh melihat sendiri bagaimana pelarian-pelarian tersebut menjalani kehidupan meskipun dicengkam cuaca sejuk terutama kanak-kanak.
Peperangan yang melanda Syria merampas momen indah mereka. Bagi kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian, keadaan mereka sangat sukar dan serba kekurangan.
Menurut Irma, mereka tetap keluar dari khemah apabila musim salji walaupun dengan baju nipis dan kadangkala tidak berstokin serta kasut kerana teringin untuk bermain.
Irma turut menambah yang anak-anak tersebut akan bermain di kawasan lopak air bertakung apabila salji cair dan kaki yang terendam dalam air sejuk tidak langsung dihiraukan mereka.
Akibat tindakan tersebut, ada yang menderita melecur kulit atau frostbite dan ada juga yang terkena serangan hipotermia namun keadaan tersebut sememangnya realiti penderitaan yang mereka lalui.
Tambah Irma, penduduk Syria yang tinggal di negara-negara jiran seperti yang ditemuinya di Turki turut berdepan masalah kekurangan makanan dan ketiadaan kelengkapan barangan keperluan musim sejuk.
Dalam pada itu, Irma mengakui yang dia rasa benar-benar insaf apabila melihat kesabaran mereka itu berdepan ujian dan kecekalan mereka meneruskan kelangsungan hidup membuatkannya sentiasa bersyukur atas nikmat yang dimiliki.
Irma atau nama sebenarnya Irma Hasmie Ibrahim turut memaklumkan yang keadaan pelarian Syria tersebut juga telah menyuntik semangat untuk dirinya terus istiqamah dalam membantu mereka serta terlibat dalam misi kemanusiaan.