Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan media telah memaklumkan perkembangan terkini insiden kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya.
Sebagai tanda solidariti dan hormat terhadap mangsa tragedi, Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor 2025 yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat telah dibatalkan.
Menurutnya, semua juadah yang telah disediakan untuk majlis tersebut akan diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sebahagian daripada makanan tersebut juga akan disalurkan ke sekolah serta rumah anak yatim berhampiran.
Jumlah keluarga di PPS meningkat
Setakat ini, sejumlah 509 keluarga telah mendaftar di PPS telah peningkatan sebanyak 201 keluarga dalam tempoh dua hari. Daripada jumlah itu, 157 keluarga kini menetap di PPS, manakala 352 keluarga lagi berlindung secara persendirian di lokasi lain.
Menteri Besar turut menggesa penduduk dari kawasan terjejas seperti Taman Putri Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru agar segera mendaftar di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan efisien.
Pihak teknikal juga telah menilai 130 unit kediaman sebagai selamat dan pemilik rumah dibenarkan pulang secara berperingkat, dengan bekalan utiliti asas mula disambung semula.
Mesin pengorek ditemui di lokasi kejadian
Dalam pada itu, siasatan terkini telah menemui sebuah mesin pengorek yang tertanam di tapak kejadian dan penemuan yang disahkan menerusi penggunaan teknologi ground penetrating radar. Penemuan ini mengukuhkan keperluan untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
Dato’ Seri Amirudin turut menyeru orang awam yang mempunyai bahan bukti seperti gambar atau video berkaitan kejadian agar menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Dia memberi jaminan bahawa tiada pihak akan terlepas daripada proses siasatan, dan segala tindakan akan diambil secara telus tanpa prejudis.