Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan, Linah Mansoding, memberitahu mahkamah dua pelajar berusia 16 tahun diarahkan membersihkan tompokan darah di lokasi tempat Zara Qairina Mahathir diletakkan selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Wanita berusia 65 tahun itu berkata dua pelajar terbabit dipercayai diarahkan oleh warden utama dikenali sebagai Ustaz Azhari untuk membersihkan kawasan itu selepas Zara Qairina dibawa menaiki ambulans.
Ada darah keluar dari kaki Zara. Mereka membersihkan kawasan tempat Zara dialihkan selepas ambulans beredar. Seorang pengawal keselamatan lelaki turut membantu dengan menyalakan lampu suluh untuk mereka.

Tambah Linah yang merupakan saksi keenam inkues kematian pelajar Tingakatan 1 itu, kesan darah tersebut yang sudah menjadi hitam masih boleh dilihat sehingga sekarang di lokasi tersebut.
Linah memberitahu Mahkamah Koroner, tompokan darah di lokasi asal Zara Qairina ditemukan berhampiran longkang akhirnya hilang disebabkan hujan lebat.
Sebelum itu, Linah juga memaklumkan tubuh remaja berkenaan dipindahkan oleh dua pelajar, seorang rakan sekelas dan Ustaz Azhari sejurus ditemui tidak sedarkan diri.
Katanya, ketika itu Zara Qairina tidak memakai tudung, sebahagian bahagian atas tubuhnya terbuka dan tidak terdapat selipar atau kasut berdekatan.
Linah juga melihat darah mengalir dari tengkuk dan kaki kiri mangsa dengan tulang terkeluar dari kakinya selain turut meniru bunyi mencungap untuk menggambarkan reaksi Zara Qairina ketika cuba dikejutkan sementara menunggu ambulans yang hanya tiba selepas sejam.