Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu, memberitahu bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina, kemungkinan besar melompat atau menghayunkan badannya dari tepi penghadang konkrit berdasarkan maklumat lokasi kejadian pada 16 Julai lalu.
Jawapan itu diberikan ketika Dr. Hiu menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Jabatan Peguam Negara, Datuk Badius Zaman Ahmad, pada prosiding inkues yang memasuki hari kedua.
Badius Zaman: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?
Dr. Hiu: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai lalu, dia sama ada melompat atau menghayunkan diri.
Pada prosiding tersebut, Dr. Hiu turut membuat demonstrasi dengan bantuan pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE, Dr. Lau Cheng, yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan Zara Qairina. Demonstrasi ini bertujuan untuk menyokong keterangannya.
“Walaupun perbezaan ketinggian antara Dr. Cheng (152cm) dan si mati adalah 2 sentimeter (Zara Qairina 154cm), tetapi Dr. Cheng senang untuk memanjat ke tepi penghadang konkrit dan berdiri di tebing konkrit itu. Di bahagian atas kepala ada palang besi yang boleh dipegang ketika berdiri di tebing konkrit,” katanya.
Dr. Hiu menjelaskan lebih lanjut bahawa jika seseorang itu duduk dan terjatuh, dia akan jatuh ke hadapan dan mendarat kepala dahulu, sama ada di dalam longkang atau berhampiran longkang. Jika dalam posisi berdiri, badan akan berpusing dan kepala akan jatuh terlebih dahulu.
“Untuk berada di lokasi ia ditemukan dengan kaki mendarat dahulu, seseorang perlu melompat dari penghadang konkrit atau bergayut sambil memegang palang besi sebelum melonjakkan badan ke hadapan,” tambahnya.
Kecederaan tersebut menyebabkan patah tulang yang serius, termasuk comminuted fracture of the left calcaneum dan oblique fracture of the distal left tibia, di mana tulang kaki kiri Zara Qairina patah menjadi bahagian kecil.
Selain itu, Dr. Hiu juga menegaskan bahawa berdasarkan ketinggian tembok penghadang yang tiga perempat daripada ketinggian tubuh Zara Qairina, adalah tidak mungkin untuknya jatuh secara tidak sengaja atau terjatuh akibat ditolak. “Tidak mungkin akan terjatuh, sama ada dari hadapan atau belakang, kerana dihalang oleh tembok,” katanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.