Kes kematian tragik pelajar Tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus meraih perhatian ramai selepas masuk hari kesembilan prosiding inkues.
Saksi kelapan persoal ibu arwah diam diri
Terbaharu, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, tampil mempersoalkan tindakan ibu arwah, Noraidah Lamat, yang didakwa langsung tidak membuat sebarang laporan rasmi kepada pihak sekolah, walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu menghadapi tekanan di asrama.
Cerita mengenai ‘Kak M’ ini bermula sejak Mei lepas, mengikut hasil siasatan pihak sekolah … Kenapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah? Itu yang menjadi persoalan saya. Kalau tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya. Tetapi langsung tidak ada.
Azhari, 31, yang juga guru Bahasa Arab dan bertugas sebagai warden blok asrama tempat arwah tinggal, memberikan kenyataan tersebut sebagai saksi kelapan dalam inkues yang berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
“Kami hanya tahu bila ibu arwah muat naik di tikTok”
Ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar, yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes tersebut, Azhari mendakwa beliau hanya mengetahui tentang insiden buli selepas ibu arwah membuat hantaran di TikTok.
Ya, tidak ada. Kami tahu (buli) pun selepas ibu mangsa membuat hantaran di TikTok.
Untuk rekod, arwah Zara Qairina, 13 tahun, merupakan pelajar Kelas Tingkatan 1 Fatimah dan tinggal di Asrama Qurratu Ayun, tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah, bersama 11 pelajar lain. Blok tersebut berada di bawah seliaan langsung Cikgu Azhari.
Allahyarhamah ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.