Inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan bermula esok di Mahkamah Koroner di sini, memetik Awani.
Prosiding yang dijadualkan berlangsung selama 19 hari pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept itu akan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan selaku koroner.
Sepanjang tempoh tersebut, seramai 70 saksi termasuk pakar patologi yang melakukan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad akan mengetuai prosiding bersama pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang terdiri daripada Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. Sebelum itu, remaja tersebut dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar sekitar jam 4 pagi, 16 Julai.
Selepas meneliti laporan siasatan polis, pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan.
Selain itu, pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.