Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikecam oleh peguam empat tertuduh dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir kerana didakwa didakwa cuba mengeksploitasi kes itu demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Kata pasukan peguam empat pelajar itu, tindakan Mohd Shafie melabelkan kes tersebut sebagai ‘pembunuhan’ dan mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik adalah tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami. Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang PRN akan datang.
Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik. Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya.
Terdahulu, tular klip video di sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial memaparkan Mohd Shafie mempersoalkan tempoh panjang inkues itu.
Pasukan peguam yang terdiri daripada Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan itu berkata, tindakan beliau adalah tidak wajar dan merendahkan mertabat seorang pemimpin.
Kenyataan pramatang dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja melemahkan prinsip bahawa setiap orang yang dituduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah, tetapi juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina sedang berduka.
Tambah mereka, keadilan haruslah ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukanlah diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial.