Dalam perkembangan inkues Zara Qairina Mahathir hari ini, Mahkamah Koroner diberitahu bahawa ibu pelajar tersebut iaitu Noraida Lamat enggan membenarkan proses bedah siasat dijalankan.
Menurut laporan, Dr Logaraj Ratha berkata penerangan telah pun diberikan kepada Noraidah sebelum, semasa dan selepas menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri.
Segala butiran dalam surat akuan itu diisi oleh ibu mangsa sendiri dan saya berada bersamanya ketika itu.
Ujarnya yang menjalani latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik (Mortuari) Hospital Queen Elizabeth sejak Jun tahun lepas, Noraidah tetap tidak membenarkan proses bedah siasat meski kepentingan prosedur itu telah dijelaskan beberapa kali.
Mohd Firdaus: Berapa kali kamu memberitahu tentang kepentingan bedah siasat kepada Puan Noraidah Lamat?
Dr Logaraj: Saya menerangkan dua kali sebelum beliau menandatangani surat itu… dan saya juga menerangkan beberapa kali semasa serta selepas beliau menandatangani surat itu… saya masih terus bagi penerangan.
Penerangan disaksikan kakak ipar Noraidah
Dr Logaraj juga berkata dia telah menjelaskan kepada ibu mangsa bahawa meskpun borang POL 61 iaitu permintaan pemeriksaan ke atas jenazah tidak dikeluarkan oleh pihak polis namun proses bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan tertakluk kepada kebenaran waris terdekat.
Bagaimanapun, Noraidah membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara Qairina walaupun penerangan telah diberikan.
Tambahnya, ketika itu Noraidah hadir ke hospital bersama kakak iparnya, Nur Shira Abdullah dan penerangan yang diberikan oleh Dr Logaraj turut disaksikan wanita berkenaan.
Saya turut menerangkan bahawa tanpa bedah siasat, pihak waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan bedah siasat rasmi berhubung punca kematian pada masa hadapan daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital.
Menurut Dr Logaraj lagi, Nur Shira juga telah mengisi butiran sendiri di bahagian saksi dan menandatangani surat tersebut sebelum dia menandatangani surat tersebut sebagai doktor yang mengendalikan kes berkenaan.
Saksi itu berkata Noraidah juga mengesahkan bahawa dia memahami penjelasan dan kandungan surat yang telah diisi serta ditandatangani.
Selepas mendapat keputusan enggan melakukan bedah siasat daripada Noraidah dan memandangkan tiada perkara yang dibangkitkan, pihak hospital telah menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada ibunya mengikut dasar hospital serta jabatan.