Pasti ramai yang pernah mengalami situasi berhadapan ‘ditindih’ oleh sesuatu ketika sedang tidur. Berdasarkan laman Facebook cerita Fiksyen Shasha, segelintir netizen berkongsikan pengalaman peribadi mereka ditindih oleh makhluk halus ketika sedang nyenyak tidur.
Perasaan apabila ditindih ketika tidur akan menyebabkan kesukaran untuk bangun setelah terjaga dari tidur, dada terasa sakit dan bulu roma akan mula meremang. Pada awalnya perkara seperti ini nampak seperti kejadian aneh dan misteri. Namun ramai yang tidak mengetahui terdapat penjelasan sains berkenaan situasi tidur seperti ini.
Kelumpuhan ketika tidur
Kebanyakan individu yang mengalami keadaan ‘lumpuh’ ketika tidur tidak menyedari tindak balas diri yang sedang berlaku malah mengaitkannya dengan fenomena paranormal. Terdapat dua hormon yang mempunyai kaitan dengan perkara ini iaitu Glycine dan Gamma Aminobutyric Acid (GABA).
Kedua-dua hormon berikut berfungsi untuk melemahkan otot-otot ketika kita sedang mengalami mimpi atau berada pada fasa rapid eye movement (REM). Ketika fasa REM ini, seseorang tidak sedarkan diri dan hanya merasakan sedang bermimpi.
Jika seorang tersebut terjaga ketika masih dalam fasa REM, kelumpuhan yang dirasai adalah kesan daripada rembesan hormon terebut. Otot seseorang tersebut masih berada pada kadar lumpuh namun pada yang sama mata berkeliaran memandang persekitaran.
Situasi inilah yang membuatkan perasaan seperti ditindih oleh sesuatu berlaku kerana tidak mampu menggerakkan anggota badan. Keadaan lumpuh yang dialami kebiasaannya berlaku untuk 1 hingga 3 minit, Jangan risau, tiada masalah kesihatan yang dilaporkan berkaitan keadaan ini.
Halusinasi
Di dalam otak, terdapat bahagian yang berlaku secara aktif ketika fenomena kelumpuhan tidur. Bahagian ini mengawal atur memori berkaitan perasaan dan ketakutan dikenali sebagai amigdala.
Amigdala merupakan system saraf yang berbentuk kacang dan terletak di bahagian lobus temporal tengah di kawasan otak.
Keadaan amigdala yang aktif boleh membangkitkan perasaan takut dalam diri seseorang meskipun tiada perkara apa-apa yang boleh menyebabkan seseorang menjadi takut. Perkara ini dibahaskan sebagai kejadian kepada halusinasi.
Kajian di dalam Jurnal Tidur pada tahun 2019 mendapati bahawa 58 peratus daripada responden menjawab mereka merasai kehadiran sesuatu yang bukan manusia di dalam bilik sewaktu perkara tersebut sedang berlaku.
Halusinasi sememangnya boleh berlaku dalam pelbagai jenis bentuk seperti seolah-olah berada di awangan, ternampak individu asing dan ada juga yang melihat makhluk halus menindih badan mereka.
Rumusan
Kelumpuhan ketika tidur bukanlah penyakit yang serius tetapi lebih kepada pengalaman tidur yang menakutkan. Fenomena halusinasi tidak akan berlaku secara berlarutan dan selalunya dialami oleh sebahagian besar individu.
Pastikan pola tidur anda sentiasa betul dan dapatkan tidur yang cukup. Sekiranya masih terdapat kebimbangan terhadap fenomena kelumpuhan tidur, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Jom ‘like‘ dan ‘follow‘ Facebook & Twitter Amazing Nara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.