Banyak industri pekerjaan terkesan akibat wabak COVID-19 yang masih menyerang hampir seluruh dunia. Di Malaysia, kerajaan sedang dalam pertimbangan teliti untuk melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung rakyat Malaysia daripada menerima jangkitan virus ini.
Syarikat penerbangan di Malaysia juga tidak terlepas menerima ujian ini apabila banyak pesawat terpaksa dihentikan operasinya untuk sementara waktu. Penggantungan penerbangan yang diumumkan termasuk penerbangan yang telah lama dijadualkan adalah untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tetapi tugas yang disandang oleh juruterbang tidak seindah yang disangka. Mereka ini perlu memastikan pesawat yang dimiliki majikannya sentiasa diuruskan dalam keadaan yang baik.
Menurut hasil perkongsian seorang pengurus operasi penerbangan, Kapten Muhammaad Fauwaz Zamzam pesawat boleh berada dalam kategori ‘short term storage’ jika tidak diterbangkan secara berkala. Sekiranya pesawat ATR42 di bawah seliaanya tidak diterbangkan dalam masa 30 hari, komponen dalam pesawat seperti enjin dan bahagian pesawat terpaksa dikeluarkan.
Komponen pesawat sebenarnya mempunyai jangka hayat yang tersendiri. Sekiranya pesawat tersebut tersadai dalam tempoh sebulan, beberapa komponen akan dikeluarkan untuk menjamin komponen lain masih boleh dipelihara.
Pesawat yang diterbangkan setelah tempoh rehat yang terlalu lama akan menyulitkan kerja-kerja pemeriksaan dengan lebih teliti. Pesawat perlu diperiksa dan menjalani ujian semula mengikut aturan prosedur keselamatan yang digariskan oleh pihak kejuruteraan. Prosedur ini berbeza mengikut jenis pesawat yang lain.
Meskipun dalam tempoh PKP, syarikat penerbangan perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya perlu membuat penerbangan tanpa mengira tujuan. Baru-baru ini, Kapten Fauwaz telah membuat penerbangan ‘warm-up’ selama satu jam dari Subang melintasi Ipoh dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).
Tempoh PKP ini walau bagaimanapun tidak menjejaskan jam penerbangan juruterbang namun terdapat sedikit pengurangan dari segi hasil pendapatan. Gaji juruterbang dikira berdasarkan gaji asas dan elaun. Elaun ini diperolehi menerusi jam penerbangan yang telah dilakukan.
Bermakna jika juruterbang tidak melakukan sebarang penerbangan, maka hanya gaji asas sahaja yang bakal diterima. Setiap polisi syarikat penerbangan adalah berbeza, ada syarikat yang menawarkan insentif ‘minimum guarantee hours’ kepada juruterbang. Insentif ini membolehkan juruterbang masih boleh menerima bayaran elaun.
Kos operasi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan adalah sangat tinggi, lebih-lebih lagi jika pesawat perlu dihantar untuk pemeriksaan. Oleh itu, walaupun di dalam tempoh PKP, syarikat penerbangan akan memohon untuk mengaktifkan pesawat mereka di udara. Pesawat sekadar hanya perlu take off, climb, cruise, approach dan landing untuk menjamin penggunaan enjin pesawat untuk jangka masa yang lebih masa.