Ini Risiko Yang Akan Ditanggung Jika Ambil Mudah Penamaan Pewaris KWSP

Trending

Ini Risiko Yang Akan Ditanggung Jika Ambil Mudah Penamaan Pewaris KWSP

Sikap sambil lewa serta tidak memahami pentingnya penamaan waris antara faktor menyebabkan masih ramai yang tidak membuat penamaan waris untuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Memetik kenyataan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Kedah, Mohd Fadzil Md Isa, kesalahan besar yang banyak dilakukan oleh ramai pencarum ialah menganggap ahli keluarga atau warisnya boleh menguruskan sendiri tuntutan selepas pencarum meninggal dunia.

Advertisement

Ramai antara mereka menggunakan konsep ‘ahli keluarga pandai-pandailah sendiri’ untuk menguruskan tuntutan caruman di KWSP apabila pencarum itu meninggal dunia kelak.

Jangan Ambil Mudah Penamaan Pewaris KWSP, Ini Kesannya

“Apa yang mereka tidak tahu, mereka hanya menyukarkan ahli keluarga mereka untuk menyegerakan tuntutan kerana tanpa penamaan, tempoh penyerahan tuntutan akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya yang dipetik oleh dari laporan BERNAMA.

Jelasnya lagi, status perkahwinan turut menjadi punca ramai dalam kalanganpencarum yang berlengah daripada urusan penamaan ini.

“Masa bujang, penamaan tidak dirasakan penting kerana tanggungjawab tidak begitu besar dan apabila sudah berkeluarga, sibuk dan tidak ada masa untuk pergi ke pejabat KWSP. Jadi, perkara ini berterusan hinggalah sesuatu terjadi kepada pencarum,” katanya.

Bukan itu sahaja, tanggapan bahawa urusan pembahagian wang simpanan di KWSP itu diuruskan secara faraid justeru tidak memerlukan penamaan juga harus diubah.

“Sebagai orang Islam, memang kita digalakkan mengikut sistem faraid dalam pembahagian harta termasuk wang caruman KWSP sekiranya berlaku kematian dan penama berperanan sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada waris yang berhak.

“Pun begitu, apa yang dilakukan KWSP bagi penamaan ini adalah antara langkah terbaik dalam memudahkan urusan tuntutan.

“Bila ada penamaan waris, semua pihak sudah tahu ke mana atau siapa yang berhak mendapat wang tersebut. Jadi, tidak perlu membuang masa yang lama untuk mencari waris sebelum wang caruman tersebut diagihkan mengikut sistem faraid,” katanya.

Mohd Fadzil turut menyarankan semua ahli keluarga memainkan peranan agar tidak bertangguh dalam melakukan penamaan serta menyebarkan kepentingan penamaan ini kepada generasi muda.

“Konsepnya, seperti anda mengambil insurans. Anda hanya mengetahui kepentingannya apabila sesuatu terjadi kepada diri sendiri atau ahli keluarga anda. Jadi, jangan ambil mudah dalam hal ini,” ujarnya,

Penamaan merupakan proses menamakan individu sebagai penama/pentadbir (Wasi) untuk menerima/mentadbir  simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.

Kenapa Perlu Membuat Penamaan?

Anda digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP anda kepada individu yang dinamakan itu apabila meninggal dunia.

Sekiranya anda tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP, waris anda mungkin menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan simpanan KWSP anda.

Adakah Anda Layak Membuat Penamaan?

Anda layak menamakan sesiapa sahaja sebagai penama sekiranya :
    1. Anda berumur 18 tahun atau lebih
    2. Anda seorang warganegara Malaysia;
        ATAU
        Anda seorang Bukan Warganegara Malaysia;
            • Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998; ATAU
            • Telah mendapat Taraf Pemastautin Tetap (PR)

Siapa Yang Boleh Dinamakan?

  • Anda boleh menamakan mana-mana ‘orang sebenar’ sebagai penama / pentadbir. Mana-mana ‘orang sebenar’ adalah merujuk kepada individu dan bukannya organisasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya.
  •  Anda boleh melantik pentadbir / wasi di bawah umur 18 tahun dengan mengambil kira penama selaku wasi / pentadbir hanya boleh menjalankan tanggungjawab setelah mencapai umur 18 tahun. Bagaimanapun, bagi ahli yang beragama Islam bahagian penama kecil tersebut akan terbatal sekiranya penama masih di bawah umur 18 tahun ketika permohonan pengeluaran kematian dibuat oleh penama atau waris.
  • Anda dinasihatkan menamakan waris terdekat anda seperti suami, isteri, anak-anak dan ibu / bapa untuk menerima / mentadbir  simpanan anda. Ini adalah kerana, penamaan bukan kepada waris berkemungkinan akan mengakibatkan kesulitan kemudian hari  seperti bantahan daripada waris.

Sumber- Viral Media

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...