Setelah satu dekad tidak beraksi di pentas Malaysia, minggu lalu Yuna kembali dengan sebuah konsert iaitu Yunaverse feat. Ai.Z yang bertempat di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur.
Menariknya, konsert ini turut dimeriahkan dengan opening act daripada salah seorang penyanyi terkenal tanah air yang juga sedang mencipta nama di peringkat antarabangsa iaitu Aizat Amdan, atau lebih dikenali dengan Ai.Z.
Disebabkan ia merupakan kemunculan selepas satu dekad, konsert tersebut menerima sambutan yang cukup hangat daripada peminatnya di Malaysia dan rata-rata penonton yang hadir turut sing along bersama penyanyi kegemaran mereka itu.
Antara lagu popular yang dibawakan oleh Yuna di konsert itu adalah Crush, Masih Sunyi, Forevermore, Lullabies, Blank Marquee, dan Castaway, serta tidak dilupakan juga lagu evergreen ciptaannya, Terukir Di Bintang.
Untuk anda yang belum tahu, konsert Yunaverse ini merupakan salah satu konsert terbesar Yuna yang dianjurkan di Malaysia sepanjang satu dekad. Kami sempat merakamkan moment indah sepanjang konsert Yunaverse berlangsung baru-baru ini.
Pada penghujung konsert itu, Yuna dilihat tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata di atas pentas kerana terharu dengan sambutan yang diterimanya serta gembira dapat mengubat rindu terhadap peminatnya di negara kelahiran.
Selain Kuala Lumpur, konsert Yunaverse ini juga akan diadakan di Hikmah Exchange, Kuching, Sarawak pada 27 Oktober 2023 akan datang.