Penyanyi, Baby Shima meluahkan rasa lega apabila lelaki yang mengancam keselamatannya sudah ditahan polis.
Memetik laporan dari Kosmo! Online, Shima atau nama lengkapnya Nor Ashima Ramli berkata tindakan undang-undang diambil sebagai peringatan kepada mana-mana individu agar menjauhi jenayah kebencian.
Saya harap kita berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang ugutan membabitkan ancaman terhadap nyawa orang lain. Jangan didorong perasaan.
Perkara seumpama ini yang wajar jadi peringatan kerana perbuatan dilakukan adalah berkaitan jenayah kebencian hanya kerana tidak menyukai saya.
Saya tak kisah pun kalau tidak sukakan saya, tetapi janganlah tergamak melayangkan ugutan sebegitu.
Dia turut berkata dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat laporan di Balai Polis Sibu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada hari sama.
Penyanyi itu turut berkata ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan ugutan sedemikian setelah 15 tahun berada di dalam industri hiburan.
Saya pernah terima macam-macam ugutan sepanjang karier saya, tetapi ancaman kali ini paling menakutkan yang pernah diterima.
Apa pun, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili mengesahkan seorang pemandu lori berusia 35 tahun ditahan kira-kira pukul 9.15 malam pada 31 Disember lalu di Kota Sentosa, Kuching.
Katanya, turut dirampas adalah sebuah telefon pintar milik suspek dan lelaki itu akan direman hari ini di Mahkamah Sibu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.