Polis Terengganu menyita tiga kereta mewah, wang tunai dan barangan kemas bernilai hampir RM1 juta, dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, rampasan dibuat susulan penahanan seorang lelaki tempatan bersama dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM32,000 dalam serbuan di premis tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi, Isnin lalu.
Difahamkan, suspek berusia 35 tahun itu merupakan peniaga kosmetik.
Antara aset yang dirampas termasuk Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman, Range Rover, wang tunai RM7,700 serta pelbagai barangan kemas emas.
Hasil pemeriksaan terhadap tubuh suspek menemukan satu plastik hijau mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram, dipercayai untuk edaran kepada kira-kira 6,000 penagih di daerah Kuala Terengganu.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Nimetazepam, namun tiada rekod jenayah lampau.

Lelaki itu kini direman tujuh hari sehingga 5 Mei dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket lain yang terlibat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautand i bawah.