Seorang pempengaruh dan pereka pakaian ‘streetwear’ telah dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selepas tular perbuatannya membuat content di TikTok dengan membuang baju ke dalam Sungai Melaka.
Memetik laporan Kosmo! Online, Datuk Bandar MBMB iaitu Datuk Shadan Othman berkata, tindakan tersebut telah diambil bukan saja disebabkan oleh aksi pencemaran yang dilakukan tetapi sebagai pengajaran susulan content tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Pereka tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM500 susulan tindakannya itu meskipun dia mendakwa ia sekadar kandungan media sosial premisnya yang terletak di Bangunan Stadthuys dan telah mengambil semula pakaian yang dibuang.
Tindakan kompaun dibuat pada Ahad lalu selepas pereka terbabit mengakui kesalahan tersebut seperti dalam video berdurasi 13 saat yang turut tular.
Jelasnya, kompaun tersebut dibuat di bawah Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Ia adalah atas kesalahan membuang pakaian atau sampah di suatu tempat awam, iaitu di dalam sungai boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500.
Pereka tersebut mendakwa perbuatan itu adalah kali pertama dilakukannya namun pihak MBMB tetap mengambil tindakan tegas kerana kesalahan itu merupakan satu kesalahan yang serius.