Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menjangkakan industri takaful mungkin berdepan kerugian sehingga RM800 juta berikutan pelaksanaan langkah sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM), memetik Harian Metro.
Langkah tersebut melibatkan pengehadan kenaikan premium tahunan bagi produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) kepada kurang daripada 10 peratus bagi sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, berkata langkah itu yang bertujuan mengurangkan beban kewangan pengguna, turut memberi tekanan besar kepada penyedia takaful, terutamanya dalam persekitaran kos perubatan yang semakin meningkat.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam inflasi perubatan di Asia, dan ini memberi impak langsung kepada kos penyediaan perlindungan perubatan.
Selain MTA, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) turut memaklumkan bahawa industri insurans secara keseluruhan mungkin mengalami kerugian sehingga RM4.5 bilion disebabkan premium yang tidak dapat dikutip ekoran kawalan harga tersebut.
Bagaimanapun, Mohd Radzuan menyatakan bahawa MTA kekal optimis terhadap inisiatif BNM, yang dilihat mampu merangsang pembangunan penyelesaian perubatan yang lebih berpatutan dan mampan dalam jangka panjang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.