Meskipun baru sahaja melancarkan video muzik single terbarunya yang berjudul Peluang Kedua, penyanyi Nabila Razali kini bagai mula mendapat perhatian netizen kembali.
Berikutan kejayaan yang diraihkan apabila mecapai 4 juta tontonan di YouTube dalam tempoh empat hari, Nabila kini dilihat mampu menzahirkan rasa syukur dengan sambutan yang diterima.
Bagaimanapun, wujud juga segelintir pihak yang tidak senang dengan trend dimana kualiti lagu dinilai menerusi jumlah tontonan semata-mata memandangkan video muzik itu menampilkan penyanyi rap kegilaan ramai, MK K-Clique.
Kita berada di zaman ‘views’ ialah kualiti dan penilaian juri ialah sampah. Sebab tu muzik kita menuju jahanam. https://t.co/QMnDLjR6Sr
— Khuzrin Kamarudin (@_Khuzrin_) August 24, 2020
Pertelingkahan itu mula timbul dan mendapat perhatian ramai khususnya pengguna laman sosial Twitter. Bahkan, ada juga netizen tampil mengutarakan pendapat bahawa industri muzik tempatan kini kian menuju jahanam disebabkan lagu-lagu tersebut dinilai dengan jumlah tontonan yang ramai semata-mata.
Meskipun begitu, pendapat warganet itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang bersetuju dan beranggapan bahawa kualiti yang dikehendaki segelintir artis baru kini hanyalah jumlah tontonan di platform berkenaan sahaja dan bukan terletak pada melodi serta vokal penyanyi itu sendiri.
Lebih perit, ada yang mengatakan video muzik itu mendapat tontonan yang tinggi kerana kehadiran MK di dalam video tersebut sehingga ada yang mendakwa Nabila seakan sengaja mahu menumpang populariti lelaki terbabit.
Walaupun dikecam, namun masih ramai yang tetap menyokong Nabila serta mahu penyanyi tersebut untuk tampil dengan lagu baru lagi dan mengasah lagi teknik nyanyiannya pada masa akan datang.
Sumber: Cari Forum