Konsert jelajah dunia Billie Eilish baru-baru ini mempunyai banyak komen dan kritikan daripada para peminat yang hadir ke Axiata Arena untuk menonton persembahan penyanyi itu secara langsung.
Rata-ratanya mengkritik pihak penganjur kerana pentas yang terlalu kecil dan penonton juga tidak berpuas hati dengan kedudukan pentas tersebut.
Meskipun begitu, mereka tetap berasa gembira dan enjoy ketika konsert tersebut berlangsung membuatkan ramai yang tidak dapat hadir berasa cemburu.
Memang tidak dapat disangkal bahawa Billie sangat popular, namun siapa sangka ada pihak akan mengambil kesempatan dengan menjual sesuatu di luar jangkaan.
Seorang individu dilaporkan membuat hantaran menjual udara dari konsert Billie di Singapura dengan harga $15,000 (kira-kira RM48,000) menerusi laman Carousell.
Berdasarkan gambar dimuat naik oleh individu tersebut, udara yang dijual itu telah ‘diletakkan’ dalam plastik dan diikat dengan getah berwarna oren bertujuan untuk mengekalkan kesegarannya.
Sekadar info, konsert ‘Happier Than Ever’ Billie Eilish telah berlangsung pada 21 Ogos lepas di Stadium Nasional Singapura.