Jika sebelum ini penampilan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersahaja tanpa sebarang formaliti khusus seperti tidak memakai blazer dan melipat lengan baju kemejanya ke paras siku menjadi bualan netizen.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, turut mencuri perhatian dengan pemilihan baju batiknya yang ceria dan berwarna warni ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan, terutamanya pada hujung minggu.
Malah ada netizen yang membuat kompilasi baju batik yang dipakai beliau dan menyamakannya dengan pelbagai jenis kuih-muih, aiskrim dan kek.
Kreativiti netizen itu mendapat perhatian Ismail Sabri yang turut mengucapkan terima kasih dan berkongsi gambar tersebut di laman Facebooknya.
Mungkin ramai yang ingin tahu, siapakah individu yang bertanggungjawab di sebalik penampilan Ismail Sabri yang sentiasa memberikan mood ceria ini?
Individu yang menjadi penata gaya kepada penampilan ini tidak lain dan tidak bukan ialah menantunya sendiri, seorang pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie. Dia turut terhibur dengan penerimaan orang ramai terhadap penampilan bapa mertuanya.
“Majoriti begitu menyukai imej Datuk Seri dengan penampilan warna-warna yang ceria. Mereka kata tak adalah nampak sedih atau suram sidang media terutama musim PKP yang percaya mood segelintir masyarakat yang terganggu.”
Menurut Jovian, Ismail Sabri seorang yang suka mencuba sesuatu yang baru dan terbuka kepada cadangan orang lain. Bapa mertuanya itu gemar kelihatan muda dan ceria serta tidak risau bermain dengan rona warna dalam pemilihan pakaiannya.
Jovian turut memberitahu ibu mertuanya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin juga turut memainkan peranan memberikan pendapat dan pemilihan untuk pakaian Ismail Sabri ini. Hampir setiap malam dia akan berbincang bersama ibu mertuanya itu untuk menentukan gaya yang bersesuaian.
Baju batik memang sering menarik perhatian tidak kira di dalam Malaysia atau di luar negara. Ini kerana coraknya yang unik dan berwarna ceria memang mudah membuat orang lain berpaling kepada si pemakainya.