Seorang pengguna Threads mencuri perhatian warganet selepas berkongsi pengalaman peribadi bersama pelakon terkenal, Fasha Sandha, yang disifatkan sebagai seorang selebriti berhati emas, pemurah dan langsung tidak sombong.
Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan mendedahkan pernah menjadi ahli kelab peminat Fasha dan berpeluang mengikuti rombongan percutian ke Bali, Indonesia — yang lebih mengejutkan, keseluruhan perjalanan itu ditaja sepenuhnya oleh pelakon terbabit.
Selebriti paling baik dan ‘best’ bagi aku adalah Fasha Sandha. Aku cakap ni sebab pernah jumpa, lepak dan makan bersama masa aku join fan club dia. Walaupun dah tak join, aku still support dia.
Menurutnya, Fasha pada awalnya hanya meminta mereka membawa duit makan, namun sepanjang percutian tersebut, segala perbelanjaan termasuk makanan ditanggung sepenuhnya oleh Fasha. Malah, mereka turut menerima layanan istimewa apabila Fasha menaja sesi spa selama tiga jam.
Aku pernah pergi Bali dengan Fasha fully sponsored. Dia kata bawa duit makan je. Tapi hakikatnya, duit makan pun dia belanja. Lagi ‘gila’, dia sponsor spa tiga jam.
Bukan sekadar pemurah ketika bercuti, individu itu turut mendedahkan sisi lain Fasha yang gemar menyokong perniagaan kecil peminat tanpa mengharapkan sebarang balasan. Difahamkan, ketika individu tersebut menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian, Fasha bukan sahaja membeli produknya, malah turut mempromosikan perniagaan tersebut di Instagram secara percuma.
Dia beli produk peminat dan promote dekat IG dia tanpa minta apa-apa bayaran. Barang pun dia beli. Baik sangat.
Tambah individu itu lagi, sikap rendah diri Fasha turut terserlah apabila pembantu peribadinya sekarang merupakan bekas peminat yang kemudiannya menjadi rakan rapat dan pekerjanya, sekali gus membuktikan hubungan Fasha dengan peminat bukan sekadar atas nama selebriti.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
