Kejadian seorang pelajar Tingkatan dua yang berani menumbuk guru kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani baru-baru ini menjadi bualan ramai di media sosial.
Terbaru, seorang pengguna Facebook, Rah Fird telah mendedahkan identiti guru lelaki berkenaan iaitu dikenali sebagai Cikgu Wan Anwar.
Katanya, guru tersebut merupakan adiknya dan hanya merupakan guru ganti yang sedang menunggu ujian kelayakan untuk menjadi guru tetap.
Ini adalah cikgu yang kena tumbuk dengan anak murid dia. Dia hanya membantu cikgu lain yang sedang dimarahi anak murid, padahal murid tu yang ponteng kelas.
Lebih 4 tahun pengalaman
Tambahnya, meskipun hanya bertugas sebagai guru ganti, adiknya mempunyai latar belakang yang cukup hebat dan memiliki pengalaman dalam bidang pendidikan jasmani dan sukan.
Difahamkan, Cikgu Wan Anwar itu telah berkhidmat sebagai guru ganti dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. (PJK) selama lebih empat tahun.
Dia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), atlet boling negeri Johor serta pernah menjadi wakil SUKMA dan MSSM.
Kata Rah Fird, keluarga menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa dan berharap murid terbabit dikenakan hukuman yang sesuai namun tidak menutup ruang serta peluang kepadanya untuk berubah.
Murid tersebut masih muda. Masih ada lagi ruang untuk menabur jasa kepada orang lain. Semoga anak murid tersebut mendapat didikan yang bersesuaian serta diberikan keinsafan dan menjadi seorang yang berguna untuk masyarakat suatu hari nanti.