Penyanyi, Ina Naim tampil menjawab dakwaan yang mengatakan dirinya keterlaluan ketika menjawab komen juri jemputan, Datuk Ramli MS, terhadap anaknya, Hadie dalam program Talk To My Manager (TTMM) pada Ahad.
Menurut Ina, dia bukan bersikap defensif, tetapi sudah menjangka beberapa kelemahan akan ditegur oleh juri. Namun, Ina memilih untuk bersuara lebih awal supaya situasi tidak menjadi terlalu serius atau beremosi.
Masa duduk dekat atas pentas, saya sudah nampak Tok Ram tengah menulis. Kami ni sebagai manager dalam TTMM memang dah nampak dah malam ni kena bantai.
Jadi saya sudah nampak kesilapan-kesilapan yang Tok Ram akan bagi pada Hadie, itu yang saya cakap. Tapi sebenarnya saya tak nak mood sedih.
Sebenarnya saya sudah tahu Tok Ram nak cakap apa. Jadi sebelum saya kena bantai, saya bantai dulu.
Ina juga menjelaskan, walaupun sebelum ini dia dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, kali ini dia merasakan perlu bersikap lebih tegas dalam situasi itu.
Orang selama ni tengok saya macam lembut sahaja, tetapi kali ini saya berkeras bukan apa, saya nak pertahankan anak saya.
Dulu arwah ayah dia memang sangat tegas, saya pula pukul anak pun tak pernah, tinggi suara pun tak ada. Tapi bila ayah dia tak ada, saya ganti tempat arwah. Insya-Allah, saya tetap begini dan tidak akan berubah.
Namun begitu, Ina menegaskan bahawa tindakannya itu bukanlah untuk menolak komen juri, tetapi lebih kepada memberi sokongan terhadap Hadie yang sedang diuji secara mental dan emosi di hadapan umum.
Terdahulu, Ina dikatakan bersikap defensif apabila kerap membidas dan seolah-olah tidak mahu menerima komen Tok Ram, yang dilihat seperti tidak menghormati juri jemputan semasa siaran langsung TTMM.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.