Pelakon terkenal dengan wajah persis pelakon Hindustan, Raja Ilya tidak dapat menahan rasa teruja beliau apabila bakal bergandingan dengan bintang ternama Bollywood iaitu Kajol dalam filem KL ke Bollywood yang bakal memulakan penggambaran beliau pada bulan Disember ini.
Jelas Raja Ilya beliau akan menjalani penggambran filem tersebut selama dua minggu di Mumbai, India selepas tertangguh beberapa bulan.
Filem ini sepatutnya menjalani penggambaran Mac lalu namun atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan selain tidak mendapat pengesahan daripada produksi di India ia terpaksa ditangguhkan.
Alhamdulillah produksi telah mengesahkan penggambaran akan dijalankan pada Disember depan dan saya teruja kerana bintang Bollywood Kajol turut terlibat dalam filem ini.
Impian menjadi kenyataan apabila dapat berlakon bersama-sama bintang yang diminati olehnya, Raja Ilya juga akui peluang seperti ini dapat mengembangkan lagi karier beliau.
Peluang yang datang seperti mimpi dan ini adalah peluang saya untuk membuktikan diri dan mengembangkan kerjaya di peringkat lebih tinggi. Ini adalah impian saya dan harus saya rebut kerana ia tidak mungkin datang lagi selepas ini.
Filem arahan T. Anand itu turut menampilkan Shaheizy Sam yang berkisarkan tentang hasrat seorang pemuda yang ingin mengejar impiannya sebagai bintang terkenal di India. Raja Ilya terpaksa bertutur dalam bahasa Hindi ketika menggalas watak antagonis yang bertanggungjawab mempertemukan Kajol dan Shaheizy Sam dalam filem tersebut.