Mula popular menerusi drama rantaian Mr Grey pada 2018, pelakon baharu Scha Elinnea kini makin mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan apabila beroleh rezeki lakonan tidak putus-putus.
Meskipun tumpuan diberikan kepada imej seksinya, namun Scha kini perlahan-lahan menyusun langkah membuktikan bakat yang dimilikinya adalah lebih penting berbanding gaya penampilan.
“Bagi saya, soal apa yang dipakai tak boleh diukur dengan kerjaya saya sebagai anak seni. Soal imej lebih kepada gaya hidup dan fesyen.”
Tambahnya, beliau lebih selesa dengan penampilan terkini kerana usia yang masih muda antara faktor Scha ingin tampil bergaya dan menjadi diri sendiri.
“Pada usia sekarang, saya selesa bergaya dan menjadi diri sendiri. Saya percaya saya akan berubah gaya seiring dengan peningkatan usia pada masa akan datang.”
Disoal mengenai cabaran dalam lakonan, Scha menyatakan beliau berani mencabar diri memegang watak apa sekalipun kerana dunia lakonan merupakan landasan terbaik untuk dirinya berkongsi bakat yang dimiliki.
“Saya pilih dunia lakonan untuk mencabar diri dalam berkongsi bakat dimiliki. Berilah apa sahaja watak, saya suka cabarannya. Watak antagonis pun saya akan cuba hidupkan.”
Scha kini dikhabarkan sedang sibuk melunaskan baki penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Productions dan Cinta Yang Pulang (Suhan Movies). Malah berpeluang berlakon di sisi pelakon-pelakon hebat seperti Rozita Che Wan dan Ummi Nazeera sebelum ini antara momen terbaik buat Scha sepanjang bergelar anak seni.
Sumber: BH Online