Penyanyi popular, Iman Troye mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin menjadi artis Malaysia berhijab ketiga muncul di papan iklan digital tersebut.
Penyanyi lagu Nang itu berkata sebagai bintang baharu dalam industri muzik tanah air, dia menitipkan rasa syukur dan terharu dengan kejayaan besar yang diperoleh ini.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Ia satu kejayaan yang besar buat saya yang masih agak baru dalam industri muzik tempatan.
Tambah Iman, sebagai seorang penyanyi wanita Malaysia yang berhijab dia berharap akan dapat terus memenuhi harapan para peminat dan turut berterima kasih atas segala doa dan sokongan yang tidak pernah padam daripada keluarga, rakan-rakan serta peminatnya.
Penampilan Iman yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal tersebut adalah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. Iman juga merupakan wakil bagi senarai lagu Equal Malaysia dan Singapura.