Ramai yang terkejut ketika isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah mendedahkan beliau pernah menghidapi kanser payudara sebelum ini. Pendedahan ini dilakukan ketika beliau berucap di Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur.
Pada bulan Mac lalu, doktor mengesahkan beliau menghidapi kanser payudara pada usia 92 tahun. Melalui keputusan biopsi diperolehnya, ia mengesahkan ketumbuhan di payudara kiri adalah kanser.
“Ketika itu saya rasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, saya disahkan mempunyai ketumbuhan kecil.”
“Apabila dia tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya.”
Beliau kemudian diwadkan selama empat hari untuk jalani pembedahan membuang ketumbuhan kecil itu. Kesihatannya kini beransur pulih dan menjadi salah seorang pejuang kanser.
Walaupun ketumbuhan itu kecil, baginya yang lebih penting adalah wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Semoga Tun sentiasa diberikan kesihatan yang baik selepas ini. Para wanita di luar sana boleh segera lakukan pemeriksaan awal.
Sumber: Harian Metro