Tular di media sosial Twitter dan juga TikTok baru-baru ini apabila seorang wanita meluahkan rasa sedih kerana pelamin pengantin yang diidam-idamkannya selama ini musnah akibat kesilapan pihak butik pengantin.
Berkongsi kepada mStar, Ain berkata bahawa butik pengantin tersebut telah dicadangkan oleh rakan ibunya untuk majlis perkahwinannya, 2 tahun yang lalu.
Setelah membuat sedikit ‘research’ dan berpuas hati pada awalnya, Ain kemudian meminta agar pihak butik menukar tema warna kepada putih dan turut memberi foto buat rujukan ketika urusan pemasangan pelamin nanti.
Pihak butik hanya bersetuju dan berjanji akan mengikut cita rasa Ain dan telah datang ke dewan sehari sebelum majlis resepsinya berlangsung.
Masa mereka set up, saya sibuk sebab hari tersebut saya nikah. Lewat malam baru dapat gambar pelamin. Saya mesej owner butik dan beritahu ini bukan yang saya nak. Dia kata tak apa, acik banyak pengalaman. Awak ikut saja, acik lebih tahu.
Rasa nak menangis tapi terpaksa senyum. Kenapalah buat macam ni. Kita ni bayar, bukan sponsor. Sepatutnya mereka kena ikut kehendak klien sebab klien bayar untuk perkhidmatan mereka.
Video yang dimuat naik Ain di laman TikTok itu kemudiannya menjadi buah mulut netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib yang menimpa Ain dan suami.
Dalam pada itu, Ain berkata bahawa dia dan suami ada merancang untuk bersanding semula jika mempunyai rezeki lebih suatu hari nanti.
Ain juga menasihatkan agar bakal pengantin di luar sana untuk lebih berhati-hati memilih butik pengantin kerana banyak yang cuba untuk mengambil kesempatan dan mengambil untung lebih namun hasil kerja yang ditawarkan langsung tidak memuaskan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.