Tarikh 17 Jun dijangka menarik perhatian ramai apabila seorang artis terkenal tempatan bakal didakwa di Mahkamah Petaling Jaya atas pertuduhan berkaitan kes amang seksual melibatkan seorang remaja bawah umur, memetik Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, selebriti yang juga merupakan penyanyi dan pelakon itu akan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selepas siasatan selesai dan menerima arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor.
Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa (17 Jun).
Siasatan awal mendapati mangsa merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga peminat kepada artis tersebut. Difahamkan, mereka pernah bertemu sekurang-kurangnya dua kali ketika mangsa menghadiri konsert suspek.
“Polis percaya mangsa merupakan peminat kepada selebriti itu,” ujar Hussein.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara menyeluruh bagi menjamin keadilan dan memastikan hak mangsa dilindungi sepanjang proses undang-undang.
Kes berprofil tinggi ini menjadi tumpuan ramai memandangkan ia melibatkan figura ternama dalam industri hiburan. Namun begitu, identiti suspek masih belum didedahkan sehingga prosiding mahkamah bermula.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.