Ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan dan empat lelaki warga asing telah ditahan dan direman seminggu untuk membantu siasatan dalam kegiatan pemalsuan cop pasport.
Menurut laporan, tahanan reman itu bermula Khamis lalu hingga 8 Oktober dan wanita berusia 47 tahun serta yang lain telah ditangkap pada jam 12.25 tengah hari Rabu lalu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, operasi itu dibuat hasil maklumat risikan berterusan polis terhadap sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai beroperasi di kawasan tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Tambahnya, sebelum serbuan dijalankan, polis terlebih dulu telah menahan seorang lelaki warga Pakistan dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan sindiket itu.
Pemeriksaan lanjut di sebuah unit apartmen yang disewa suspek, polis merampas barang-barang yang disyaki digunakan untuk memalsukan cop imigresen.
Susulan itu, polis menangkap tiga lelaki warga asing berusia antara 39 tahun hingga 47 tahun dan seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun di sekitar Shah Alam.

Hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu, katanya, polis turut menemui pelbagai cap rasmi membabitkan beberapa negara termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia, yang dipercayai diguna untuk memalsukan dokumen perjalanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dan imigresen dan Noor Ariffin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan.
Boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah komersil iaitu Inspektor Fadzrul Akmal Zulkarnain di talian 010-2057600 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.