Bayi atau kanak-kanak memang sukar untuk dikawal jika mereka berada di kedai makan. Tetapi orang di sekeliling seharusnya memahami kerana kanak-kanak ataupun bayi masih tidak mampu berfikir apabila dilarang.
Di Henan, ZhengZhou, China, seorang wanita hamil berang dengan bunyi bising seorang bayi perempuan berusia 11 bulan lalu menyimbahnya dengan sup panas.
Mangsa melecur belakang badan dan punggung kerana mengetuk meja menggunakan sudu, lapor media tempatan Sohu.
Sebelum kejadian, wanita yang dikenali sebagai Ren, 28, dilapor menegur ibu mangsa agar mengawasi anaknya supaya tidak membuat bising, namun tidak diendahkan.
Ren turut berbalah dengan ibu mangsa yang dikenali sebagai Yang sebelum suaminya meleraikan pergaduhan dan membawa wanita itu keluar dari restoran.
Malangnya, 10 minit kemudian, Ren yang tidak berpuas hati berpatah balik memasuki restoran sebelum menyimbah semangkuk sup panas ke arah dua beranak itu menyebabkan bayi tersebut melecur teruk pada bahagian badan.
Yang kemudian membuat laporan polis menyebabkan Ren dijatuhi hukuman penjara 15 hari selain perlu membayar denda 500 yuan (kira-kira RM300).
Namun Ren bernasib baik kerana peraturan di China tidak membenarkan hukuman penjara ke atas wanita hamil.
Selain membayar denda, Ren diperintahkan polis untuk membiayai keseluruhan kos rawatan kanak-kanak itu sehingga pulih.
Bayi berkenaan difahamkan berada dalam keadaan terkejut selain mengalami kesukaran untuk makan dan minum.
Sumber: Daily Mail