Seorang ibu di media sosial berkongsi detik cemas apabila anaknya hampir menjadi mangsa ‘scam pedo’ yang menyamar sebagai guru dan doktor melalui aplikasi Telegram.
Menerusi hantaran di Threads oleh pengguna @far.ghazali, beliau menceritakan bagaimana penipuan itu berlaku bermula dengan mesej daripada individu menggunakan nama sebenar seorang guru di sekolah anaknya serta satu lagi akaun atas nama “Dr. Nur Farhanah”.
Individu berkenaan mendakwa sedang menjalankan “kajian pelajar” dan memberi arahan pelik kepada murid-murid.
Antara tanda mencurigakan (warning signs) yang dikenal pasti ialah:
- Murid dilarang memaklumkan kepada ibu bapa dan rakan-rakan.
- Diminta menghantar gambar tertentu kononnya untuk tujuan “penilaian”.
- Diugut bahawa tidak akan naik kelas atau lulus peperiksaan jika tidak mengikut arahan.
Scam pedo. Sebelum ni baca je kat socmed. This time jadi depan mata. Kat Telegram ada satu profil nama cikgu (dan memang wujud nama cikgu ni kat sekolah) dan Dr. Nur Farhanah.
Cikgu ni kata ada Dr. nak buat kajian. Tapi warning sign — jangan bagitau parent, jangan bagitau kawan, wajib buat untuk naik kelas.
Beruntung, anak pengguna itu terus memaklumkan kepada ibunya sebelum sempat menghantar apa-apa gambar. Beliau kemudian segera melaporkan kejadian kepada pihak sekolah, PK HEM dan PIBG, sebelum akaun Telegram mencurigakan itu terus hilang atau dipadam.
“By the time ni anak dah inform mama. Mama bagitau kat sekolah, PKHem dan PIBG. Lepas tu Telegram tu terus ghaib,” katanya.
“Kena didik anak, tak ada benda yang ‘jangan bagitau mak ayah’. Jadi kawan kepada anak, ambil tahu apa mereka buat,” pesannya.
Insiden ini menjadi peringatan penting kepada masyarakat mengenai ancaman pedofilia digital yang semakin licik dengan taktik menyamar sebagai guru, doktor atau pegawai rasmi sekolah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.