Ibu bapa Perlu Lindungi Anak Daripada “Pedofil” Di Alam Maya, Elak Jadi Mangsa Jenayah

Trending

Ibu bapa Perlu Lindungi Anak Daripada “Pedofil” Di Alam Maya, Elak Jadi Mangsa Jenayah

Erin Shariza Ahmadshah, ibu kepada tiga anak perempuan berusia tiga hingga enam tahun, menyifatkan tindakan memadam semua gambar anak-anaknya yang pernah dimuat naik ke Facebook dan Instagram sebagai tindakan paling bijak pernah dilakukannya.

Advertisement

“Saya rasa ini adalah kerana keselamatan mereka lebih penting dan saya tidak mahu mereka menjadi mangsa jenayah pedofil yang menjadi barah di Internet ketika ini.

“Sekarang hanya tinggal beberapa keping gambar anak-anak bersama saya dan suami serta sanak saudara semasa hari raya tahun lepas,” katanya, lapor FMT.

Erin, 28, bertindak sedemikian kerana takut dan bimbang kemungkinan gambar anak-anaknya akan disalah guna kumpulan pedofilia tempatan yang dilaporkan bergerak aktif menerusi aplikasi mesej Telegram.

Gerakan kumpulan itu didedahkan aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi apabila seorang rakannya menghantar satu ‘screenshot’ muat naik status dalam Telegram, yang sejumlah 751 anggota kumpulan itu bertukar-tukar jenaka berbaur seks terhadap satu gambar kanak-kanak perempuan yang dikongsi antara mereka.

Namun lain pula bagi Asma Yusoff, 33, yang berpendapat tidak salah untuk memuat naik gambar anak-anaknya untuk dikongsi bersama anggota keluarga dan kenalan di laman media terutama Facebook.

“Itu tak salah kerana saya akan pastikan gambar yang dimuat naik adalah gambar anak saya yang berpakaian sopan dan bukannya memakai pakaian menjolok mata seperti pakaian renang yang sudah tentu akan menarik perhatian golongan pengamal seks songsang ini.

“Saya juga telah mengehadkan akses ke akaun Facebook pada gambar-gambar yang dimuat naik agar ia hanya boleh dilihat dan diakses oleh mereka yang saya kenali sahaja,” katanya.

Najwa Ahmad, 32, yang mengambil pendekatan tidak memuat naik sebarang gambar anak-anaknya di laman sosial, sebaliknya hanya berkongsi gambar antara anggota keluarga menerusi aplikasi WhatsApp sahaja.

“Cara ini saya rasa lebih selamat dan tak perlu memikirkan sangat mengenai gambar yang mungkin diambil oleh golongan itu dari laman sosial kita.

“Namun yang lebih penting adalah saya telah terangkan kepada mereka (anak-anak) apakah itu pedofilia dan perlunya mereka menjauhi daripada menjadi mangsa kepada jenayah ini,” katanya.

Pakar Psikologi Klinikal Hospital Pantai, Datuk Dr Mat Saat Baki mendefinisikan pedofilia sebagai keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak.

Katanya, pedofil adalah individu dewasa yang mempunyai gangguan psikologi, iaitu mereka tertarik secara seksual untuk melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak yang belum baligh atau di awal baligh untuk kegiatan dan aktiviti seks mereka.

“Ada dalam kalangan pedofil ini sanggup menunggu berjam-jam di hadapan komputer untuk menjejaki gambar kanak-kanak yang disukai mereka dan memanipulasi gambar itu untuk tujuan lain demi melampiaskan nafsu seks mereka,” katanya.

Jelasnya, majoriti ibu bapa yang memiliki akaun Facebook dan Instagram menganggap ia merupakan satu trend untuk memuat naik gambar anak kecil mereka di laman sosial sebegitu.

Beliau berkata: “Saya ingin katakan mereka ini mengalami obsesi untuk mendapatkan perhatian orang ramai”.

“Apabila obsesi menguasai diri akan wujud rasa syok selepas orang lain lihat dan komen gambar anak-anak kecil mereka dan dalam keadaan itu, ibu bapa tidak sedar bahawa kesan pendedahan maklumat peribadi ini boleh mengundang tetamu yang tidak diingini (pedofil),” katanya.

Katanya, gambar kanak-kanak yang berpakaian sopan dan dimuat naik ke laman sosial juga tidak lari daripada menjadi mangsa pedofil.

“Ini kerana pada masa ini sudah ada aplikasi dan teknologi canggih yang dapat menyunting gambar kanak-kanak itu menjadi bogel dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kawalan terhadap pesalah pedofilia menerusi Internet di negara ini masih di tahap rendah kerana masih kurang penguatkuasaan bagi membanteras pesalah pedofilia di alam maya.

“Saya kecewa kerana kebanyakan ibu bapa dilihat tidak peduli isu pedofilia ini kerana tidak kena pada batang hidung sendiri, tetapi selepas terkena barulah mereka akan sedar,” katanya.

Terkini, pesalah pedofilia, Richard Huckle dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan kerana melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Hakim Mahkamah Old Bailey, Peter Rook menjatuhi hukuman itu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu yang mengaku mendera kesemua mangsa berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Menurut portal BBC News, perbuatan terkutuk itu dilakukan antara 2006 hingga 2014 dan tertuduh yang berasal dari Ashford, England itu akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 23 tahun.

Dr Mat Saat menjelaskan, isu pedofilia telah lama berleluasa di negara ini dan ia berkembang mengikut peredaran masa seperti menerusi laman sosial di Internet.

“Walaupun kes sebegitu besar, rakyat Malaysia tidak mengambil iktibar daripadanya dan kita telah memaklumkan kepada ibu bapa terutamanya untuk lebih berwaspada dan jangan terlalu asyik menunjukkan siapa kita,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi anak-anak kerana mereka masih mentah untuk memahami pedofilia.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...