Semasa raya hari itu kita ada baca kisah perempuan buat kerja rumah dan lelaki goyang kaki. Kali ini aku nak cerita kisah ibu bapa aku yang lagi dahsyat di mana ibu aku buat segala-galanya ibarat ibu tunggal. Niat bukan nak aibkan, tetapi nak minta pendapat dan agar jadi pengajaran.
Ibu bapa aku berkahwin atas aturan keluarga. Ibu aku asal orang kampung dan orang susah, terbalik dengan ayah aku yang orang senang di bandar. Walaupun ada perangai ayah aku yang tak elok macam ambil duit mak aku senyap-senyap, dan banyak menipu, dan panas baran, mak aku sabar saja.
Macam dalam kisah sebelum ini, mak dan ayah aku sama-sama berkerja asalnya, tetapi kerja rumah mak aku seoranglah yang buat.
Sehinggalah lepas adik bongsu (anak ke5) lahir, ayah aku berhenti kerja dan nak bekerja sendiri. Dia cuba buat syarikat sendiri dan cari projek. Tetapi susah katanya. Jadi dia tak ada kerja sekarang dan tak ada pendapatan. Jadi mak akulah yang kena sara keluarga dan jaga rumah, anak-anak, memasak dan lain-lain.
Ayah aku? Setiap pagi, tengahari baru bangun, kemudian menghadap komputer. Hidupnya bebas tanpa tanggungjawab bak pelajar universiti yang tengah cuti semester. Mak aku secara rasminya dah jadi ibu tunggal yang masih bersuami. Cuba bayangkan seorang ibu kena tanggung enam orang bersendirian ketika itu (sampailah sekarang ini beberapa belas tahun dah berlalu).
Walaupun tak berkerja, kerja rumah semua jangan haraplah dia nak buat. Orang senang katakan. Takkan dia nak buat semua itu. Kalau dia ada buat sedikit, memang satu rumah akan tahu, sebab dia akan cakap punya. Tetapi sangat-sangat jarang. Selalunya bila kami satu keluarga kemas rumah, dia sama ada akan tidur di atas, keluar, atau duduk di ruang tamu menghadap telefon dia buat tak tahu saja (macam mana dia boleh tak ada rasa malu?).
Dia pernah kata yang rumah dan masak itu memang tanggungjawab mak aku pun (serius?). Tanggungjawab dia sendiri apa pun tak buat. Pendek kata memang dia tak ada buat apa-apa pun). Bahkan cabut rumput tengah panas di luar pun mak aku yang buat (anak-anak pun ada tolong juga).
Pergilah tegur? Mesti la mak aku (dan aku) pernah buat. Ingat lagi bila aku cakap dia panas baran? Dia panas baran dan tak pernah salah. Apa dia buat semua betul. Pernah sekali mak aku suruh cari kerja dia campak gelas yang dia pegang ke dinding dan cakap:
‘Aku tahu la apa aku buat.’
Masa itu mak aku tengah basuh pinggan. Dan semestinya mak akulah yang kena bersihkan gelas pecah itu (masa ini aku kecil lagi). Dan kalau mak aku yang mengamuk pada dia, tahu tak dia kata apa? Dia kata mak aku memang perangai macam itu, sebab dulu hidup susah dan kemudian dia kutuk-kutuk mak aku lagi (????).
Bila aku cakap lagi benda ini tahun lepas, dia mengamuk juga, cakap dia adalah ajar adik bongsu aku masa dia nak UPSR. Takkan sebab itu (tak bekerja), dia tak ada nilai dalam keluarga? Aku senyap sajalah sebab tak tahu nak cakap apa lagi masa itu. Dia tak pernah sedar tanggung keluarga itu tanggungjawab dia. Apa peranan dia dalam keluarga pun aku tak tahu.
Mak aku bersabar saja sedangkan rata-rata aku tanya kawan-kawan aku tak boleh sabar kalau kena macam itu. Dan mak aku pun tak nak libatkan orang lain. Dia kata masalah keluarga biar dalam keluarga saja.
Alangkah indahnya kalau dapat isteri penyabar macam itu kan? Tetapi tak bagi ayah aku. Sebanyak-banyak benda mak aku buat ada saja dia tak puas hati dan mengata belakang mak aku depan anak-anak dan orang lain. Dia pernah complain tentang rumah tak teratur dan suruh bandingkan dengan rumah orang lain dan kata mak aku asyik sibuk dengan kerja sehingga abaikan keluarga.
Ya aku tahu, dia memang tak pernah cermin diri dia. Sedangkan mak aku tak pernah burukkan dia belakang dia, kalau ada pun cerita apa (benda buruk) yang ayah aku buat saja tanpa kutuk dia.
Dengan ayah aku, logik akal memang tak boleh guna dengan dia sebab yang betul semua dia dan yang salah orang lain. Nak bawa dia jumpa pakar psikiatri aku tak mampu, jadi siapa-siapa boleh tolong beri cadangan? Kasihan mak aku walaupun dia dah pasrah jadi ibu tunggal.
Aku juga nak mohon kepada semua yang ingin mendirikan rumah tangga terutamanya perempuan, tengoklah pasangan yang anda pilih betul-betul. Jangan kahwin dengan laki tak guna atau yang ada responsibility deficit disorder. Nanti derita ke hujung usia.
Terima kasih.
– Si Anak
Sumber: IIUMC