Nahas membabitkan lima sekeluarga di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kelantan mengundang rasa sebak masyarakat.
Ia selepas hanya seorang daripada mereka iaitu Attar Azim Syukran Jamil, 9, terselamat manakala empat lagi meninggal dunia akibat kemalangan yang berlaku sekitar jam 1.40 petang itu.
Mangsa yang terbunuh adalah pasangan suami isteri, Syukran Jamil Ab Hamid dan isterinya, Noor Aisyah Razali dan dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, dan Lufya Adeena.
“Tunggu Attar di syurga”
Jenazah keempat-empat mangsa tiba dibawa menaiki tiga van dari Hospital Sultan Ismail Petra tiba di kediaman keluarga di Felda Trolak Utara jam 9.30 malam dan kemudian disolatkan oleh lebih 200 jemaah di Masjid Jamek Al-Ridhuaniah.
Kira-kira jam 11.10 malam kesemua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dalam satu liang lahad.
Attar yang turut berada di pengebumian ahli keluarganya itu tidak dapat menahan sebak selepas kehilangan mereka sekelip mata dan menjadi yatim piatu.
Tunggu tau Attar di syurga. Nanti dah tak boleh peluk dah, sebab keluarga Attar dah pergi alam lain.”
Itu kata kanak-kanak berusia 9 tahun tersebut ketika menyiram air ke pusara ibu bapa dan dua adiknya selain turut berkongsi pesanan orang tuanya kepadanya.
Pesanan ibu bapa diingati
Katanya, arwah ibu bapanya selalu berpesan kepadanya tentang persediaan menyambut Ramadan selain menjaga adab dengan orang tua.
Abah kata, kena doa banyak-banyak supaya boleh puasa. Abah kata puasa tu best, ada banyak pahala tapi abah kata kena doa banyak-banyak. Ada orang yang tak dapat puasa, jadi dia tak dapat kumpul banyak pahala. Mak kata pula kalau belajar pandai, tapi tak hormat ibu bapa tiada guna.