Pelayar Syria akhirnya dapat meninggal ‘tempat tinggal hitam’ di Terusan Suez, Mesir selepas hampir empat tahun terdampar di tengah lautan.
Kisah hitam itu bermula apabila Mohammed Aisha menaiki kapal MV Aman pada sekitar Mei 2017 sebelum dinaikkan pangkat kepada ketua pegawai kapal itu.
Perjalan mereka terganggu selepas dua bulan belayar apabila pihak pelabuhan Mesir menahan kapal itu kerana peralatan keselamatan tamat tempoh.
Dia kemudian dijadikan taruhan sebagai ‘penjaga sah’ yang membuatkan dia tidak boleh meninggalkan kapal itu sehingga dijual atau dipindah milik.
Menurut laporan The Middle East Eye situasi itu bertambah buruk apabila pemilik kapal tidak mampu membeli minyak kerana masalah kewangan. Mohammed terpaksa tinggal di MV Aman yang terdampar di terusan itu.
Tambahnya, tanpa minyak kapal bukan sahaja tidak boleh bergerak, tetapi ia juga tidak boleh membekalkan kuasa elektrik. Mohammed juga terpaksa tinggal dalam persekitaran yang dikelilingi tikus dan serangga di atas kapal tersebut.
“Kamu tidak nampak atau mendengar apa-apa. Macam duduk dalam keranda. Lebih menyedihkan, saya tidak dapat pulang melihat ibu yang meninggal dunia pada Ogos 2018”.
Namun, nasibnya mula berubah pada Mac tahun lalu apabila kejadian ribut menghayutkan kapal itu dari pelabuhannya berhampiran pesisir pantai yang membolehkannya berenang ke pantai mencari makanan dan mengecas telefonnya.
Berita mengenai Mohammed tersebar dan menjadi tajuk utama berita sehingga dia dibebaskan oleh Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) pada Khamis lalu selepas wakil dari organisasi itu mengambil hak penjagaan kapal kargo itu secara sah.
“Apa yang saya rasa? Rasa macam bebas dari penjara. Akhirnya saya dapat bersatu dengan keluarga”.
Wakil ITF Mohamed Arrachedi menyifatkan situasi dialami Mohammed itu satu kes yang sangat mengecewakan yang pernah dikendalikannya.
“Penderitaan yang menghimpit Mohammed dapat dielakkan jika pemilik kapal dan pihak lain yang bertanggungjawab melakukan perkara yang betul sejak awal lagi”.
Beliau berkata demikian kepada The Middle East Eye.