Penyanyi, Sufie Rashid bersama pasukan bantuan yang dikelolanya sudah masuk hari ketujuh turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi di Selangor.
Menurut Sufie, bencana banjir yang berlaku ini benar-benar membuka matanya kerana dia tidak pernah melalui pengalaman banjir yang teruk di Singapura.
Penyanyi berasal dari Singapura itu memberitahu yang pada awalnya, dia dan isterinya ingin turun ke lokasi yang terjejas hanya untuk menghulurkan sumbangan makanan dan ubat-ubatan.
Namun, bila sudah tengok sendiri situasi di sana, saya rasa saya perlu bantu lebih dari itu.
Sufie yang turut disertai isteri, Nurulain Md Yusof dan pasukannya membawa empat bot dari beberapa lokasi untuk membawa masuk bekalan makanan, ubat serta membantu kerja-kerja menyelamat.
Tambah Sufie, mereka ke Hulu Langat pada hari pertama yang memang sangat terjejas teruk dan terdapat tanah runtuh, pokok tumbang serta memerlukan mereka untuk meredah hutan.
Alhamdulillah, pasukan saya dapat empat bot dari Port Dickson, Taiping, Puchong dan Shah Alam.
Namun, Sufie turut memaklumkan bahawa terdapat juga kawasan yang tidak dapat dimasuki bot seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam kerana banyak kereta tenggelam dan bot tersangkut.
Bagaimanapun, Sufie sangat bersyukur kerana kerja-kerja bantuan yang dilakukannya turut disertai hampir 30 orang yang ingin membantu dan turut berterima kasih kepada penyumbang dari Malaysia dan Singapura.