Melalui laporan Utusan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberi kuasa takluk kepada garis panduan ketat di bawah Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Tak boleh rotan murid perempuan
Dalam pada masa yang sama, Fadhlina turut menegaskan hukuman rotan itu tidak boleh dikenakan kepada murid perempuan.
Kata beliau lagi, hukuman rotan boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk buli.
Namun, hukuman ini tidak bertujuan untuk mendera sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid agar mereka dapat memahami implikasi perbuatan mereka.
Supaya isu disiplin dapat ditangani
Tegas Fadlina, hukuman ini juga tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah seperti yang telah diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid.
KPM berpandangan pendekatan yang lebih berkesan adalah dengan memperkukuh komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan sebarang isu disiplin dapat ditangani dengan lebih berhemah dan berkesan.