Kejadian kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk ketika ini semakin menjadi-jadi. Oleh itu, satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diadakan pada 1 Jun ini.
Difahamkan, pindaan akta itu khususnya adalah untuk memperketatkan dan menambah hukuman sedia ada terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Untuk pengetahuan anda, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ketika ini akan didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.
Berikutan itu, ramai pihak menuntut ‘hutang nyawa seharusnya dibayar dengan nyawa’, segala keputusan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik. Hal ini dikatakan untuk mendapatkan pembelaan kepada mangsa korban kemalangan maut serta menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.
Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata peningkatan kes kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini memerlukan kerajaan melakukan tindakan drastik, dengan menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk menghukum pesalah tersebut. Hal ini kerana undang-undang sedia ada mungkin dilihat terlalu ringan bagi mereka.
“Jangan beri peluang kedua kepada pelaku.”
Selain itu, cadangan kerajaan untuk meminda Akta tersebut juga turut disambut baik oleh Pensyarah Kanan Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Noor Azlan Mohd Noor. Beliau menyarankan agar satu tindakan ‘ad hoc’ diambil terhadap pesalah sedia ada sementara menunggu hukuman dan akta sedia ada dipinda kepada yang lebih tegas.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.