Setelah hampir empat tahun tidak bersemuka disebabkan perselisihan faham, hubungan penyanyi Lan Solo dengan gitaris kumpulan Kristal, Rody kini kembali pulih.
Baru-baru ini, Lan telah memuat naik foto bersama Rody di laman Instagram miliknya selepas terserempak secara tidak sengaja di surau Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lepas.
Alhamdulillah… Itu kejadian semalam sebenarnya, kami ada program bersama tetapi bukanlah satu stage. Rody jadi house band untuk GV, saya untuk program GV live plus.
Menurut Lan, mereka masing-masing menuju ke surau ketika itu kerana mahu kejar waktu Maghrib dan pihak penganjur telah rehatkan seketika semua program serta akan disambung semula selepas Maghrib.
Tambah Lan lagi, dia tidak tahu langsung yang Rody berada di situ dan berkemungkinan Rody juga tidak tahu dia berada di situ namun secara tiba-tiba dia merasakan ada orang mencuit bahunya ketika hendak keluar dari surau.
Dalam pada itu, Lan meluahkan rasa syukurnya apabila dapat bersemuka semula dengan Rody selepas bermasam muka sehingga mengambil keputusan meninggalkan kumpulan Kristal pada November 2017.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat berborak lama kerana masing-masing sibuk dengan tugasan yang perlu dilakukan pada malam itu.
Saya rasa gembira dalam penuh kesyukuran sebab benda ini berlaku tanpa sebarang perancangan dan ditemukan di tempat yang baik.
Lan turut menambah yang dia akan bertemu dengan Rody dalam masa terdekat ini dan dia berharap agar hubungan tersebut dapat dijernihkan tanpa campur tangan orang luar.