Terdapat rakaman yang tular baru-baru ini di internet telah menggemparkan penduduk berhampiran Brooklyn Hospital, New York. Mana tidaknya, hospital tersebut didakwa menggunakan kenderaan ‘forklift’ untuk memindahkan mayat mangsa COVID-19 ke dalam trak berhawa dingin.
Situasi yang sama turut dikatakan berlaku di hospital yang lain. Di mana rumah mayat sementara dibina di perkarangan bangunan hospital untuk menempatkan jasad mangsa sebelum diuruskan dan dikebumikan mengikut prosedur perubatan.
Sehingga ke hari ini, 36,000 penduduk di kawasan itu telah dijangkiti virus tersebut dan telah mengakibatkan 790 kes kematian.
Keadaan tersebut pernah berlaku sebelum ini ketika serangan berani mati yang berlaku 11 September 2001 di bandar yang sama. Siapa sangka, tahun ini mereka menyaksikan lagi saat getir yang perlu dilalui sekali lagi.
Laporan yang dikeluarkan berdasarkan keadaan semasa, New York dijangka akan menghadapi saat yang buruk dalam beberapa minggu yang bakal datang. Amerika Syarikat (AS) juga telah diberi amaran bahawa sekiranya keadaan tidak terkawal, bandar-bandar di negara itu juga akan berdepan dengan situasi yang sama seperti dihadapi oleh New York sekarang.
Semalam, AS telah merekodkan 2,500 angka kematian dan kes jangkitan positif mencecah 142,000 orang.
Petugas perubatan yang berkhidmat di New York turut berkongsi keadaan semasa dengan memuat naik gambar yang menunjukkan keadaan beg yang mengandungi mayat mangsa COVID-19 yang disusun di dalam trak.
Presiden AS, Donald Trump mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh social distancing sehingga hujung bulan April ini. Bagaimanapun, sebelum ini Presiden AS ini telah dikecam hebat atas cadangannya untuk membuka semula negara tersebut bersempena sambutan hari Easter.
Presiden itu juga berucap dan berkata sekiranya angka kematian COVID-19 berada di bawah 200,000 itu sudah bermakna bahawa dirinya sudah melakukan usaha yang terbaik untuk setakat ini.