Pelakon Aaron Aziz berpendapat individu yang ‘menunggang’ dan bersuara tentang Gaza hanya kerana ia diperkatakan ramai adalah sebagai hipokrit.
Menerusi temu bual, aktor tersebut menyifatkan mereka yang membuat hantaran atau mengambil kesempatan terhadap isu yang sedang tular seperti Gaza atau Allahyarham Zara Qairina sebagai hipokrit.

Aaron juga berkata seseorang itu tidak perlu dipaksa untuk bersuara mengenai isu Gaza dalam akaun media sosial hanya kerana diminta dan memenuhi kehendak orang ramai.
Kita tak boleh paksa orang bersuara hanya sebab diminta. Tak bersuara tak semestinya mereka tak sokong. Buat apa kalau kita bersuara tapi kita tak take actions. Jangan nilai orang dia buat kerja amal ke tidak.
Tambahnya lagi, sekiranya orang ramai mahu membela sesuatu pihak haruslah adil dan bukanlah hanya memilih untuk bersuara isu yang tular sahaja.
Aktor berusia 49 tahun itu turut memberi contoh tentang situasi di mana sesetengah pihak mengambil kesempatan dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina.
Lagi satu, saya tak suka orang tunggang sesuatu isu contohnya kes arwah Zara. Ada yang jual baju-T, buat kenyataan dan tiba-tiba jadi aktivis buat siaran langsung. Apa kejadah? Asal kau nak tunggu benda tu tular baru kau nak bersuara. Pada saya, itu hipokrit semua tu.
Kalau nak bela, bela semua orang. Jangan hanya kerana Gaza dapat naikkan nama, dapat tumpuan dan pujian, baru sibuk nak jadi aktivis.
Sebelum ini, netizen mula bertanya dan memetik beberapa nama seleriti popular kerana tidak lantang bersuara tentang Palestin terutamanya misi Global Sumud Flotilla (GSF).