Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pastinya telah menjejaskan banyak sektor industri, terutamanya yang melibatkan tumpuan orang ramai. Pun begitu, umum juga sedia maklum bahawa penutupan ini adalah untuk mengurangkan kes Covid-19 yang kian mencanak.
Terbaru, pengusaha pawagam memohon agar kerajaan mengizinkan mereka kembali beroperasi kerana sektor lain seperti gim, kasino dan pusat rekreasi juga telah dibenarkan untuk dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) berkata, penutupan pawagam kerana PKP telah menjejaskan industri itu.
Lebih menyedihkan, syarikat pengusaha pawagam telah kehilangan 90 peratus pendapatan tahun ke tahun, dengan kerugian lebih RM500 juta pada tahun 2020 sahaja.
“Penutupan secara paksa telah mempengaruhi industri sehingga mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang tidak terhitung jumlahnya, penutupan panggung wayang secara kekal dan pengurangan operasi yang signifikan untuk semua peserta pameran di seluruh dunia,” katanya.
Tambahan, penutupan pawagam juga secara langsung akan memberi kesan kepada industri filem Melayu tempatan yang menggaji sekitar 20,000 rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan pengerusi MAFE, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth berkata, industri pawagam tidak dapat bertahan lama dan ia pasti akan runtuh.
“Kami berharap kerajaan mempertimbangkan kembali keputusannya secara serius dan memungkinkan kami untuk beroperasi semula,” katanya.
Pengendali juga meminta keluarga dari rumah yang sama dibenarkan untuk duduk bersebelahan di pawagam apabila ia dibuka semula.