Pelakon yang baru sahaja mengeluarkan single terbaru, Didie Alias mengesahkan bahawa akaun Instagramnya telah digodam pihak tidak bertanggungjawab pada hari Isnin.
Dia juga turut mengingatkan rakan artis agar tidak menekan apa-apa pautan yang dihantar kepada mereka melalui Instagramnya kerana telah dikawal individu tersebut.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd,49, memberitahu bahawa akaun media sosialnya itu telah diambil alih penggodam setelah menekan pautan yang dihantar oleh pelakon Syanie di mana akaun Instagramnya telah di‘hack’ sebelum itu.
“Instagram saya kena godam, saya minta sangat kalau dapat mesej daripada IG saya, jangan klik apa-apa. Kalau klik link itu, nanti IG anda pula akan kena hack. Saya tertekan link yang dihantar IG Syanie (Pelakon Syanie Hisham) menerusi direct mesej, padahal yang hantar mesej itu bukan Syanie..IG dia dah pun dah kena hack sebelum itu..”
Malah, jelas pelakon yang terkenal dengan gelaran Cik Salmah semenjak membintangi drama Takdir Yang Tertulis itu turut diugut dengan bayaran sebanyak RM4,100 oleh penggodam berkenaan jika mahu akaunnya dikembalikan.
Menurut Didie lagi, dia telah membuat laporan kepada pihak Facebook dan Instagram mengenai kejadian malang itu.
Didi dalam pada itu turut meluahkan rasa kekesalan kerana media sosial Instagramnya itu merupakan salah satu platform terpenting dalam mencari rezeki di mana ianya telah mempunyai lebih 515,000 pengikut.
“Dah lama saya buat iG sejak lapan tahun lalu dan dari sini juga kadang-kadang saya dapat rezeki, buat review dan promosikan semua event yang saya anjurkan…” ujarnya kesedihan.
Terkini, Didie bakal menganjurkan majlis Raya Bersama Che Salmah yang akan diadakan pada 30 April hingga 2 Mei ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.