Hikayat Raja Babi: Cerita Berusia 240 tahun Diterbitkan Kembali Dalam Rumi

Trending

Hikayat Raja Babi: Cerita Berusia 240 tahun Diterbitkan Kembali Dalam Rumi

hikayat raja babi buku fixi

Penerbit buku alternatif “FIXI” bakal menerbitkan manuskrip Hikayat Raja Babi yang berusia hampir 240 tahun, dimana ia telah dihasilkan pada 1775. Manuskrip ini yang asalnya ditulis dalam tulisan Jawi atas usaha pengarang sendiri, seorang pedagang Jawa yang bernama Usup Abdul Kadir.

Advertisement

Buku yang bakal diterbitkan pada bukan April nanti pasti akan dinanti oleh pengemar hikayat lama.

Berikut merupakan sedikit petikan dari Hikayat Raja Babi

Demikianlah cetera dikonon raja sebuah negeri di gunung berapi Rantau Panjang

Tebing Berukir. Syahdan akan namanya Seri Sultan Tahir Syah. Peri beberapa lamanya baginda di atas takhta kerajaan itulah syahdan berapa ratus banyak menterinya dan beribu-ribu banyak hulubalangnya.

Bagindalah raja yang bernobat tujuh kali sehari dan tabal tujuh kali semalam dan disembah oleh menteri, hulubalang. Disembah rakyat hina-dina, tentera berlok-lok kati bejana.

Ada kepada suatu hari baginda semayam di balairong dihadap oleh segala raja-raja, menteri, hulubalang yang beribu-ribu banyaknya semuanya dengan senjatanya masing-masing dengan perhiasan, maka Baginda Sultan fikirlah di dalam hatinya :

“Wah! Sayang sekali kebesaranku ini akan terbuanglah gerangan kerana aku tiada berputera. Oh! Malangnya badanku tuan”.

Lalu baginda memberi titah kepada Raja Mangkubumi :

“Ayuh kekanda! Tolong bicarakan kita hendak berputera. Ingin pulak rasanya kita.”

Maka Raja Mangkubumi pun sujud menyembah. Sembahnya:

“Daulat Tuanku Girgayu! Sebenarnyalah titah Yang Maha Mulia itu sahaja terjunjung di atas batu kepala yang diperhamba.”

Setelah sudah memberi titah, maka Seri Sultan Raja Besar pun berangkatlah naik ke mahligai baginda, semayam di merong peranginan dihadap siti dayang-dayang perwahara mendera berjawatan. Maka beraturlah segala gundik sultan datang menghadap baginda itu.

Sebermula akan Raja Mangkubumi pun menyuruhkan Bentara empat puluh orang pergi kepada segala raja-raja yang besar-besar kerajaan meminang anak segala raja-raja akan jadi permaisuri semuanya dikahwini oleh baginda kerana baginda sangat hendak berputera itu.

Berikut merupakan temubual Daily Seni bersama Amir Muhammad selaku peneraju Penerbitan FIXI

Kenapakah ‘Hikayat Raja Babi’ dipilih untuk diterbitkan semula oleh syarikat penerbitan FIXI, jikalau ingin dibanding dengan manuskrip Melayu yang lain?

Sebab ia belum dirumikan dan saya tertarik dengan tajuknya. Saya nak tahu: Betul ke babi tu jadi raja? Bagaimana? Adakah ia babi sebenar atau sekadar metafora? Dan sebagainya. Syukur, semua soalan dijawab apabila saya membaca naskah rumi.

Adakah syarikat penerbitan FIXI ingin memainkan peranan sebagai jambatan diantara generasi anak muda dan hasil karya kerajaan lama, dimana kebanyakkan sumber yang lama tidak lagi mempunyai daya tarikan yang menarik?

Itu satu impian yang terlalu murni dan tinggi, Kami sekadar nak kongsi keseronokan dengan pembaca kami tanpa mengira umur.

Adakah pendekatan seperti ini merupakan suatu pendekatan untuk meningkatkan minat anak muda untuk menghargai pembacaan buku-buku lama, sebagai proses pengukuhan minda anak muda dari segi konteks sejarah mereka?

Saya rasa buku seharusnya ‘dibaca’ dan bukannya ‘dihargai’. Sesiapa saja boleh membaca dan membuat penilaian sendiri, ia demokratik begitu. ‘Penghargaan’ sekadar retorik — contohnya, memberi pingat atau anugerah setelah orang itu mati.

Melalui berita yang dilaporkan di Malaysia Kini, En. Amir menyebut tentang perbezaan manuskrip Hikayat Raja Babi, iaitu hikayat ini dihasilkan bukan dibawah arahan Istana. Apakah perspektif menarik yang dapat dipelajari dan difahami oleh para pembaca nanti?

Apa yang menarik ialah ia diusahakan oleh pengarangnya sendiri, jadi ia boleh dilihat sebagai “karya independen” waktu itu. Dia bebas menulis apa saja sebab ia untuk hiburannya sendiri dan ia dibaca pun oleh ahli keluarga dan kawan-kawannya; ia tidak diperdagangkan. Ia bukannya bertujuan untuk menggembirakan Sultan atau penjajah jadi tidak ada agenda membodek.

FIXI Retro sebelum ini juga pernah menerbitkan hasil penulisan Usman Awang, apakah karya-karya lain yang dapat dikirakan berbaloi untuk diterbitkan semula oleh pihak penerbitan FIXI?

Sebelum ini kami terbitkan novel P. Ramlee (SITORA HARIMAU JADIAN) dan kumpulan cerpen Usman Awang (YANG NAKAL-NAKAL). Dari segi jualan, tidaklah sebanyak novel-novel kontemporari yang kami terbit. Ia lebih untuk meraikan sesuatu yang pernah wujud dan mungkin masih dapat dinikmati oleh pembaca kami. Selepas ini Fixi retro akan terbitkan karya Hamzah Hussein yang pernah menjadi penulis cerpen dan juga penulis skrip untuk Cathay Keris khususnya pada tahun 1960an. Karyanya sangat urban, penuh dengan gangster, pelacur dan romantisme kota.

Apakah kayu ukur utama bagi syarikat penerbitan FIXI di dalam menentukan karya yang harus diterbitkan semula?

Sama ada ia seronok dibaca atau tidak.

Apakah halangan utama yang dihadapi oleh pihak FIXI untuk menterjemahkan karya manuskrip ‘Hikayar Raja Babi’?

Saya rasa perkataan lebih sesuai ialah ‘transliterasi’ dari Jawi ke Rumi dan bukan terjemahan, sebab bahasanya tetap sama. Cabaran utama ialah mendapatkan orang yang pandai baca Jawi lama. Nasib baik ada Aryshad Pendang yang sudi buat. Dia juga telah mengajukan satu lagi karya Jawi untuk diusahakan.

Syarikat penerbitan FIXI telah pun membuat perjanjian urus niaga dengan syarikat Primeworks untuk menghasilkan beberapa filem, apakah berita terbaru yang pihak FIXI boleh kongsikan dengan para pembaca?

Mereka pernah minat dengan satu lagi novel kami MURTAD tapi sinopsisnya tak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem. Sebab tu saya lebih suka terbit buku berbanding buat filem; di dunia buku, tidak ada lembaga penapisan sebegitu. Orang yang buat filem dan tonton filem dianggap oleh penguasa sebagai mempunyai IQ yang lebih rendah berbanding pembaca buku. Syukur, ini bukan masalah saya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...