Pernah mencipta populariti sekitar tahun 90-an dahulu, kumpulan A To Z pastinya diingati dengan lagu-lagunya seperti Itik Gembo-Gembo, Berdendang, Darjat dan Iyo Ko.
Salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut iaitu Lan khabarnya kini giat mengusahakan perniagaan menyewa sistem audio dan juga pengacara majlis.
Terbaru, tular di media sosial TikTok apbila seorang pengguna aplikasi tersebut telah menemui Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abdul Aziz yang pada ketika itu sedang bertugas dalam sebuah majlis perkahwinan.
Masih berjiwa penghibur, Lan sempat menghiburkan peminatnya dengan menyanyikan lagu Itik Gembo-Gembo untuk tatapan mereka di luar sana.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang kagum dengan stamina Lan yang masih kuat dan berada dalam keadaan yang sihat serta suaranya juga tidak berubah sejak kali terakhir muncul dalam kumpulan nyanyian itu.
Malah, ada juga peminat yang meminta Lan untuk membuat kemunculan semula menerusi program realiti TV popular, Gegar Vaganza pada musim yang seterusnya.
Selain Lan, kumpulan nyanyian A To Z turut dianggotai Jeff yang merupakan abang kepada pelakon Shaheizy Sam dan Chap, anak kepada pelakon Shaharudin Thamby.
Sekadar info, Lan telah mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan iaitu Siti Nur Ain Daut dan kini memiliki dua orang cahaya mata.