Minggu lalu kecoh di media sosial apabila tersebar gambar dan video seorang pelajar kolej berusia 21 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 pangsapuri di Island Park, di sini, Khamis lalu.
Tidak tahan dengan penyebaran gambar ngeri insiden kematian pelajar terbabit, P Darshwini, dan video palsu yang mengaitkan kematian itu, adiknya tampil merayu kepada orang ramai terutama netizen supaya berhenti menyebarkan gambar berkenaan.
P Thirptisonia membuat rayuan itu menerusi posting di Facebook susulan penyebaran gambar dan berita palsu mengenai Darshwini masih berlaku.
Di Facebook, Thirptisonia menulis:”Tolong berhenti menyebarkan khabar angin mengenai kematian kakak saya. Tidak ada adik yang mahu melihat gambar kematian kakaknya di sana sini. Tolong hentikan! Terima kasih.”
Gambar ngeri kejadian itu tersebar luas di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.
Turut dikongsi ialah video menunjukkan seseorang jatuh dari bumbung bangunan tinggi di mana Thirptisonia berkata ia “tidak ada kena mengena dengan kakak saya”.
Satu lagi post berkaitan ialah seseorang mendakwa dia ialah teman lelaki Darshwini selama lebih empat tahun.
Katanya, posting di media sosial menambah kesedihannya.
“Tolong berhenti menyebarkan cerita palsu dan khabar angin mengenainya. Sebaliknya tolong doakan dia aman di sana.”
Ketua Polis Daerah George Town ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata video itu tidak ada kaitan dengan mana-mana kes di daerah itu.
“Ia insiden di China dan mangsanya ialah lelaki.
“Siasatan menunjukkan Darshwini jatuh dari sebuah pangsapuri dan bukan dari bumbung,” katanya dipetik daripada MStar.
Mior berkata kematian Darshwini ialah kes kematian mengejut tetapi mendapat perhatian apabila orang ramai mula menyebarkan maklumat palsu di media sosial.
“Kita sedang menyiasat sama ada dia mengalami kemurungan atau sebab lain,” katanya semalam.