“Hello, Yop, Sejak Bila Naik Basikal Jam 3.00 Pagi Itu Satu Dosa; Satu Kesalahan?”

Trending

“Hello, Yop, Sejak Bila Naik Basikal Jam 3.00 Pagi Itu Satu Dosa; Satu Kesalahan?”

Kemalangan yang menyebabkan kematian lapan orang remaja berbasikal pada pukul 3.00 pagi di Johor baru-baru ini menjadi viral dengan rata-rata Netizen mempersoalkan mengapa remaja-remaja itu keluar untuk berbasikal pada waktu di mana mereka sepatutnya sedang tidur.
PemanduAN

Bagaimanapun, seorang peguam, Datuk Haji Zulkifli Noordin telah mempersoalkan mengapa identiti pemandu yang merupakan seorang gadis berbangsa cina itu masih belum didedahkan dan mengapa Netizen tidak mempersoalkan cara pemanduan gadis itu yang telah menyebabkan kematian lapan orang remaja tersebut. Ikuti tulisan beliau:

Advertisement

DARI KACA MINDA SEORANG PEGUAM

Salam kepada semua.

Teman berasa terpanggil untuk memberi komen berkenaan kes tragedi kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu pada 18 Feb 2017 lepas yang mengorbankan lapan nyawa anak-anak muda.

Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3.00 pagi sewaktu anak-anak tersebut sedang berkayuh di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah.

Dikatakan lebih 30 anak-anak tersebut berada dikawasan itu bersama basikal masing-masing.

Pemandu seorang gadis berbangsa Cina berumur 22 tahun memandu kereta jenis Almera dikatakan merempuh anak-anak tersebut yang berkayuh menuju haluan yang sama, bermakna ianya rempuhan daripada belakang.

Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku ditepi jalan sebelah kiri.

Apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3.00 pagi?

Teman melihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan termasuk oleh pihak polis dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri memberi gambaran seolah-olah anak-anak tersebut yang bersalah; dengan satu alasan dangkal yang utama: apa anak-anak itu buat berkayuh basikal beramai–ramai jam 3.00 pagi!

Tidak ada pulak yang bertanya apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3.00 pagi? Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan mak bapak mereka pulak yang didedahkan.

Perlindungan istimewa buat pemandu?

Kebiasaannya kalau berlaku tragedi kemalangan seperti ini dengan cepat identiti pemandu yang melanggar akan didedahkan; tetapi dalam kes ini teman agak pelik!

Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa; adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi? Setakat hari ini teman tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis Cina tersebut uuntuk membolehkan identitinya tidak didedahkan!

Berbalik kepada isu tragedi kemalangan itu, teman merasakan pihak-pihak berkaitan terlalu menumpu kepada anak-anak tersebut berkayuh basikal jam 3.00 pagi; seolah-olah satu dosa besar bagi anak-anak itu berkayuh basikal jam 3.00 pagi!

Teman bukan bermaksud nak membela anak-anak itu, tetapi isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu?

Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut; dan paling malang ada pulak pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibu bapa anak-anak itu kerana membenarkan atau membiarkan anak-anak itu berbasikal jam 3.00 pagi!

Naik basikal jam 3.00 pagi bukan satu kesalahan!

Hello, Yop, sejak bila naik basikal jam 3.00 pagi itu satu dosa; satu kesalahan?

Dibawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas:

1.Bukan satu kesalahan berkayuh basikal jam 3.00 pagi!
2. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai-ramai;
3. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalan raya;

Isu berbangkit

Apa yang jelas melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan daripada belakang diatas jalan raya adalah prima facie satu kesalahan!

Pihak polis wajar memperhalusi siasatan mereka dengan mengkaji persoalan berikut:

  1. Bagaimana pemandu tersebut boleh merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang?
  2. Agak mustahil untuk mana-mana pemandu tidak nampak sekumpulan pengayuh basikal diatas jalan raya apatah lagi kalau jumlahnya sampai 30 orang;
  3. Alasan konon jalan itu menurun bukit adalah terlalu dangkal; sebab semua pemandu telah pun melalui latihan pemanduan untuk memperlahankan kenderaan bila melalui selekoh atau mendaki atau menuruni bukit.
  4. Apa yang menyebabkan pemandu itu tidak dan/atau gagal melihat atau menyedari ada sekumpulan ramai pengayuh basikal dikawasan tersebut;
  5. Ada kenyataan dibuat oleh mangsa dan saksi menyatakan melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit dan memandu laju; oleh itu pihak polis wajib menyiasat maklumat ini. Teman agak hairan dalam tempoh yang begitu singkat kenyataan dikeluarkan konon pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak membawa laju! Bila siasatan terperinci dibuat?
  6. Melihat kepada gambar-gambar sekitar selepas kejadian, kelihatan rempuhan tersebut sangat kuat sehingga melanggar begitu ramai pengayuh basikal dan menyebabkan lapan kematian! Ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan tersebut!

Dalam bahasa undang-undang ada prinsip dipanggil res ipsa loquitur – sesuatu perkara itu terjelas dengan sendirinya!

Rempuhan kuat daripada belakang oleh sebuah kereta terhadap sekumpulan ramai pengayuh basikal disisi kiri sebatang jalan raya dua lorong memberi gambaran sama ada pemandu itu lalai, alpa, atau dalam keadaan gagal mengawal kenderaannya!

Maknanya ada kes prima facie untuk disiasat dengan lebih terperinci!

Emosional, prejudis dan bias

Teman harap kita bertindak waras dan rasional dalam tragedi ini, dan tidak terbawa-bawa dengan sikap emosional, prejudis atau bias!

Adakah hanya kerana anak-anak itu berkayuh basikal jam 3.00 pagi secara beramai-ramai maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja; dan mereka yang dipersalahkan?

Apa beza anak-anak yang berkayuh basikal itu dengan keadaan sebaliknya; apa kata jika pemandu tersebut merempuh beberapa kenderaan lain kereta atau motorsikal daripada belakang?

Tidak ada beza bukan?

Soal mereka berkayuh basikal jam 3.00 pagi beramai-ramai bukan isunya! Itu mungkin isu sosial yang perlu ditangani secara berasingan melalui kaedah yang diperlukan.

Tetapi ini isu tragedi kemalangan jalan raya! Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang disisi sebelah kiri sebatang jalan menyebabkan lapan kematian!

Prima facie ada sesuatu yang tak kena dengan cara pemanduan atau pengendalian kereta tersebut oleh pemandu berkenaan!

Polis perlu perhalusi siasatan

Teman mendesak pihak polis dan pihak berkuasa supaya memperhalusi siasatan mereka! Dan teman cadangkan supaya siasatan dibuat dibawah Seksyen 302A Kanun Keseksaan dan sebagai alternatif Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Teman nasihatkan kepada keluarga mangsa supaya merujuk kepada peguam untuk menimbang membawa kes ini ke Mahkamah untuk tindakan sivil yang bersesuaian.

Dan jika tidak berpuashati dengan siasatan pihak berkuasa, failkan writ prerogatif di Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah yang bersesuaian. Peguam yang mahir akan boleh memberikan nasihat dan panduan yang bersesuaian, insya-Allah.

Dan akhirul kalam, nasihat teman kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Daerah (KPD dan yang sewaktu dengannya), lain kali kalau ditanya soalan berkaitan sesuatu insiden atau kejadian jenayah seperti ini, suka teman mengulang nasihat seorang sahabat bekas pegawai tinggi pasukan polis, “jawab aja ‘kes masih dalam siasatan dan kita akan siasat sewajarnya mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada”.

Selesai masalah!

Wallahua’lam dan wassalam

Tuan Haji Zulkifli Noordin 

Pada pendapat penulis yang memang lebih menyalahkan pemandu tersebut, sememangnya kata-kata Datuk Haji Zulkifli Noordin ada benarnya. Suka penulis ingatkan, mungkin bagi mereka yang telah lupa, bahawa kemahiran seorang pemandu untuk memandu secara berhemah itu bertujuan untuk mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya.

Apabila seorang pemandu melihat seseorang penunggang basikal, beliau hendaklah dengan segera bertindak menjangkakan sesuatu bahaya di hadapan kerana penunggang basikal tersebut kemungkinan akan membelok ke kanan dan keluar daripada laluannya, terutamanya jika penunggangnya terdiri daripada kanak-kanak.

Disamping itu setiap pemandu kenderaan juga hendaklah memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, sekiranya berlaku sesuatu yang membahayakan umpamanya bersedia membuat brek kecemasan atau membelok ke kanan.

Seseorang pemandu juga perlu bertindak dengan segera apabila melihat adanya penunggang basikal di hadapan kerana seseorang pemandu tidak boleh melihat sesuatu bahaya itu dengan sikap yang sambil lewa sahaja kerana sikap tersebut boleh dianggap cuai.

Walaupun terdapat 30 orang remaja di kawasan kemalangan sebelum ia berlaku, pemandu masih gagal melihat mereka dan gagal menghentikan kenderaan sebelum merempuh sejumlah kanak-kanak itu dari belakang.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan pemandu gagal melihat mereka? Sama ada pemandu berada dalam keadaan alpa, tertidur atau kenderaan dipandu dengan sangat laju sehingga tindakan menyelamatkan keadaan gagal dilakukan.

Semoga keadilan berjaya ditegakkan.-amazingnara.com

Grafik

6

5

4

3

2

1

Sumber: Muhamad Muzammil Al-Haq

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...