Taktik seorang wanita yang membuat permohonan rentas negeri gagal selepas dikesan menggunakan dokumen hospital palsu. Lebih menyedihkan apabila wanita ini sanggup memberi alasan ibunya sedang kritikal di hospital untuk mendapatkan kelulusan.
Difahamkan, wanita yang berusia 30 tahun itu pada mulanya datang ke Balai Polis Pantai pada 3.40 petang semalam untuk membuat permohonan rentas negeri ke Terengganu dengan memberi alasan ibunya sedang sakit.
Pun begitu, setelah semakan dibuat, dokumen yang diserahkan wanita itu didapati palsu selepas anggota polis membuat pengesahan dengan pihak hospital sendiri.
Menurut laporan polis, suspek mengaku memalsukan dokumen Jabatan Kecemasan & Trauma sebuah hospital di Kuala Terengganu dengan mencipta sendiri dokumen itu di rumah kakaknya di Petaling Jaya pada 9 Mei lalu.
Suspek juga memuat naik borang Permit Pergerakan Rentas Negeri daripada Internet dan menggunakan cop rasmi pegawai perubatan hospital tanpa pengetahuan dan keizinan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar juga mengesahkan bahawa suspek mengaku membuat dokumen palsu berkenaan selepas permohonan rentas negeri yang dibuat di Balai Polis Seapark, Petaling Jaya pada 9 April lalu ditolak.
“Susulan itu, polis merampas salinan permohonan Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan salinan dokumen hospital terbabit.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan suspek ditahan untuk dituduh di mahkamah hari ini.